PETALING JAYA: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, 43, berharap dapat melunaskan hasratnya untuk merakamkan lagu tradisi dari negeri Sarawak.
Kata Dayang, impian itu yang menjadi keinginan sejak awal menjadi penyanyi, masih belum kesampaian sampai ke hari ini.
“Impian saya bukan sahaja merakamkan lagu tradisional tetapi mungkin juga lagu berbahasa Sarawak berentak pop.
“Sampaikan sekarang hasrat itu belum tercapai. Semoga saya berpeluang pulang ke Sarawak untuk lunaskan impian ini,” katanya.
Kata Dayang, dia tidak pernah melupakan muzik tradisi tanah kelahirannya malah beberapa kali membawakan lagu-lagu dari negeri itu dalam persembahannya.
“Lagu Puteri Santubong antara yang selalu saya nyanyikan kalau pulang ke Sarawak untuk membuat persembahan,” kongsinya lagi.
Dalam masa yang sama Dayang juga memaklumkan sebelum ini pernah bercadang merakamkan sebuah lagu tradisi Sarawak untuk diselitkan dalam albumnya, Belagu.
“Tapi masa tidak mengizinkan justeru hasrat itu terpaksa saya lupakan.
“Kena ada perancangan sebelum merakamkan lagu, tak boleh asal buat,” jelasnya.
Sementara itu pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu juga berkongsi keinginannnya merakamkan semula lagu Biar Bekikis Bulu Betis yang menjadi lagu rakyat popular di Bumi Kenyalang.
“Lagu itu terkenal dan sering berkumandang pada penghujung acara di Sarawak.
“Saya teringin untuk merakamkan semula lagu itu. Insya-Allah, kalau ada rezeki, manalah tahu pemilik lagu itu, Andrewson Ngalai memberi kebenaran kepada saya merakamkan semula lagu tersebut,” katanya.- UTUSAN