KUALA LUMPUR: Jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negara diminta menyemak terlebih dahulu sebarang kaligrafi khat berunsurkan agama yang hendak digantung atau dipamerkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, langkah itu penting supaya sebarang kesilapan, terutamanya berkaitan kalimah suci, dapat dielakkan dan tidak mengundang fitnah kepada agama Islam.
Katanya, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sedia bekerjasama memberi khidmat semakan jika diperlukan.
“Kita hargai keprihatinan masyarakat dalam menegur sekiranya berlaku kesilapan, namun saya mohon agar teguran dibuat secara beradab dan berhemah.
“Kadang-kadang jawatankuasa masjid tidak sedar ada kesilapan maka lebih baik kalau kita sama-sama bantu dan betulkan dengan cara yang baik,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Layar Dakwah Yadim (LDY) di ibu negara hari ini.
Sebelum ini media dilaporkan, terdapat kesilapan kaligrafi khat kufi yang memaparkan kalimah Allah yang tular di media sosial berlaku di sebuah masjid di Melaka baru baru ini.
Sementara itu, Na’im berkata, program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu merupakan inisiatif bagi menggalakkan penghasilan karya kreatif yang mematuhi syariah dan membawa mesej dakwah menerusi jalur seni.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada pendekatan dakwah Yadim dalam melibatkan pelbagai kelompok masyarakat, termasuk penggiat seni, sebagai rakan strategik dalam menyampaikan mesej Islam secara lebih inklusif dan bersifat mendidik.
“Kita mahu membawa mesej dakwah bukan sahaja melalui masjid dan surau, tetapi juga menerusi drama, filem dan karya seni yang boleh dihayati masyarakat dengan mudah.
“Kami turut berharap agar pengisian LDY dapat melahirkan lebih ramai penggiat seni yang bukan sahaja kreatif, tetapi juga beradab serta memahami batas-batas agama dalam berkarya,” katanya.