KOTA BHARU: Sindiket penyeludupan dadah dikesan mula menukar taktik dengan memasukan bahan terlarang itu ke dalam badan lembu dan kambing bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, lebih mengejutkan lagi haiwan ternakan yang dibawa masuk secara sah itu tidak diberi makan dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan bintang tersebut membuang najis.
“Bila najis tidak dikeluarkan, ada kemungkinan bahan terlarang dimasukkan ke dalam badan haiwan berkenaan. Semua maklumat ini hasil risikan yang kita peroleh.
“Namun setakat ini pihak kami tidak mempunyai sebarang bukti berkaitan aktiviti ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, susulan itu Polis Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut dan melakukan pemantauan ke atas semua haiwan yang dibawa masuk menggunakan permit sah.
Katanya, pemeriksaan lebih ketat di pusat kuarantin dan kawasan berisiko tinggi akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bertujuan membendung taktik ini daripada berleluasa.
“Kita juga akan terus melaksanakan pemantauan penyeludupan haiwan secara haram melalui laluan air terutama di kawasan Pasir Mas hingga Tanah Merah.
“Kedua-dua kawasan ini mempunyai sungai yang cetek serta sempit dan ia sangat mudah digunakan untuk aktiviti penyeludupan,” ujarnya.-UTUSAN