Sekolah politik UMNO: 48 pelajar telah bergraduasi setakat ini

Sekolah politik UMNO: 48 pelajar telah bergraduasi setakat ini

WAN Rosdy Wan Ismail (depan, dua dari kiri) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bukit Mertajam di Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seramai 48 daripada 50 pelajar menjadi kumpulan pertama yang berjaya menamatkan pengajian mereka di sekolah politik UMNO, ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, baki dua pelajar bagaimanapun terpaksa menangguhkan kursus selama empat bulan itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, kumpulan kedua pelajar yang mengikuti pengajian tersebut ketika ini pula adalah seramai 65 orang dan mereka dijangka menamatkan pengajian masing-masing dalam tempoh dua bulan lagi.

“Kita juga telah buka tawaran untuk pengambilan ‘batch’ (kumpulan) ketiga dan sambutan yang diterima adalah sangat baik. Saya difahamkan telah ada 100 lebih yang memohon tetapi kita cuma akan mengambil antara 50 ke 60 orang saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bukit Mertajam di Seberang Jaya, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang merangkap Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, mereka yang berminat untuk menyertai sekolah politik itu yang turut dikenali sebagai Sekolah Patriotik UMNO perlulah berusia antara 18 hingga 30 tahun.

“Kalau nak masuk (sekolah politik), boleh berhubung dengan pejabat UMNO terdekat kerana kita tak keluarkan iklan dalam suratkhabar. Penyertaan kita buka kepada semua. Anak ahli Pas yang masuk pun ada,” ujar beliau.

Tambahnya, kumpulan pertama yang telah berjaya menamatkan pengajian di sekolah itu kini ada yang bekerja bersama UMNO dan ada yang bekerja sendiri.

“Apa yang ingin saya tekanlah ialah, silibus yang terdapat di sini (sekolah politik UMNO) tidak terdapat di mana-mana universiti.

“Kita gubal khas untuk melahirkan pelajar atau pemimpin akan datang yang semangat dan daya perjuangannya tinggi serta dapat mematahkan hujah-hujah yang dibangkitkan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan UMNO khususnya.

“Sebelum kita gubal pun kita dah bincang banyak kali. Saya sendiri pun sudah melawat banyak sekolah politik di luar negara termasuk Indonesia. Yang baik (pelajaran) kita ambil,” katanya yang memberitahu, sekolah politik itu mula beroperasi sejak tahun lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN