Sekolah disaran tutup jika bacaan IPU lebih 200

Sekolah disaran tutup jika bacaan IPU lebih 200

TINJAUAN beberapa lokasi perniagaan sekitar Nilai 3, Negeri Sembilan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 162 setakat pukul 2 petang semalam.-UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi menyelaras tindakan semua agensi kerajaan dalam menghadapi situasi jerebu yang semakin meruncing di beberapa kawasan di negara ini.

Menurut JAS, antara langkah utama di bawah PTJK ialah pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh melebihi 24 jam.

“Pihak sekolah turut disarankan untuk bersedia mengambil tindakan penutupan jika trend bacaan IPU menunjukkan peningkatan berterusan.

“Semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska hendaklah ditutup serta-merta sekiranya IPU melepasi paras 200.

“Operasi Pembenihan Awan (OPA) turut akan dilaksanakan jika bacaan IPU melebihi 150 untuk tempoh lebih 24 jam, bergantung kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai,” kata JAS dalam kenyataan, semalam.

Menurut JAS, pemantauan imej satelit NOAA 20 yang dilaporkan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) di Singapura pada 19 Julai lalu mengesan sebanyak 65 titik panas di Sumatera, 30 di Kalimantan dan empat di Malaysia.

“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC pada 20 Julai tidak menunjukkan lingkaran asap yang jelas, namun pergerakan angin ke arah barat daya dipercayai membawa kesan ke bahagian selatan Semenanjung Malaysia yang kini mengalami cuaca kering,” katanya.

Kata JAS, tiada kebakaran besar dikesan dalam negara setakat ini, namun penurunan kualiti udara dipercayai dipengaruhi jerebu rentas sempadan.

Susulan itu, tindakan penguatkuasaan dan rondaan telah dipertingkatkan di kawasan berisiko berlaku pembakaran terbuka seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang dan kawasan pertanian.

“Pemilik tanah dinasihatkan memantau kawasan masing-masing secara berterusan dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelak berlakunya pembakaran terbuka, sama ada disengajakan atau tidak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN