‘Sedih, pasangan generasi muda macam tiada prinsip’ - Utusan Malaysia

‘Sedih, pasangan generasi muda macam tiada prinsip’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Tak mampu nak cakap apa, cuma rasa sedih generasi muda macam tiada satu prinsip hidup.’

Demikian luahan pelakon, Fauzi Nawawi, melihat sikap pasangan muda yang tidak habis-habis melondeh aib di media sosial. Bagi Fauzi, apabila seseorang itu bersetuju untuk membangun rumah tangga, mereka perlu mempunyai sikap menahan amarah, mengambil jalan menyelesaikan segala kekusutan sesama sendiri tanpa terus meluahkan segalanya kepada masyarakat umum.

Sepanjang 19 tahun mendirikan perkahwinan bersama pelakon, Lisdawati, Fauzi atau Muhammad Fauzi Mohd Nawawi, 52, mendedahkan selain mengamalkan sikap saling percaya, mereka berdua akan menyelesaikan masalah diam-diam bagi mengelak daripada diketahui anak-anak.

“Isteri saya tidak pernah pula beri sebarang pantang larang apalagi menghalang saya buat sesuatu. Lisdawati seorang yang mudah, asalkan saya tidak menghancurkan kepercayaan dia, sudah cukup.

“Masalah memang akan timbul dalam rumah tangga. Tapi kami akan selesaikan sejak di peringkat awal lagi. Semuanya selesai dalam rumah sampaikan anak-anak tak tahu pun bahawa kami sedang ‘dingin’.

“Setakat ini kami berdua memang sangat kuat simpan rahsia, apa yang berlaku adalah privasi. Kita kena pandai simpan rahsia perkahwinan. kerana itulah kunci kebahagiaan.

“Setiap manusia itu akan melakukan kesilapan, cuma bergantung kepada pasangan masing-masing untuk menilai dan memahami situasi. Kerana kalau kita mahu mencari yang lengkap, sempurna, tidak akan ada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Jelas Fauzi, kerjayanya sebagai pelakon sedikit sebanyak membantunya dalam mengawal emosi. Tambahnya, jika seseorang individu gagal mengawal perasaan, dia seperti gagal mengemudi seluruh kehidupan.

“Sebagai seorang pelakon, kita bermain dengan emosi untuk membawakan banyak karakter. Jadi ia membuatkan saya ada kelebihan untuk menyembunyikan rasa. Tapi kalau perasaan marah itu kita tak boleh sembunyikan, kita belum berjaya menjadi seorang manusia.

“Untuk menjadi seorang manusia, kita kena pandai kawal emosi terutama amarah. Bila gagal itu, maka kita gagal untuk menguruskan kehidupan seharian kita. Bila marah, elakkan terus jumpa pasangan. Lebih baik diam atau pergi mana-mana untuk bertenang,” katanya yang hanya bergaduh dua hari sahaja dengan Lisdawati.

Tambah Fauzi lagi, sebagai seorang suami dia menasihati pasangan muda hari ini untuk mengingati segala janji yang telah dilafazkan semasa akad nikah.

“Waktu akad nikah, kita sudah berjanji akan sehidup semati dengan pasangan. Jangan libatkan orang ketiga termasuklah ibu dan ayah dalam masalah rumah tangga kita.

“Kalau suami dan isteri sudah buat keputusan nak menikah dan kongsi hidup, maksudnya suami dan isteri juga kena berani serta kuat untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah rumah tangga,” katanya.

Untuk rekod, Fauzi dan Lisdawati sah bergelar suami isteri pada 9 September 2007.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, Nur Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus, dan Ahmad Nur Fayyadh.

Lisdawati juga mempunyai empat anak tiri menerusi perkahwinan terdahulu Fauzi iaitu Nurul Hainil Fatihah, Fareez Hazwan, Nurul Hana Farisya, dan Mohd. Fikri Hakimi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN