CAMERON HIGHLANDS: Golongan penanam sayur di sini mendakwa kemasukan sayur import menyebabkan harga sayur merosot sekali gus menjejaskan pendapatan kira-kira 5,000 pekebun.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pekebun-Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands, Lau Weng Soow berkata, hampir semua jenis sayur utama seperti kubis, kubis bunga, brokoli, tomato, keledek dan timun kini menerima tekanan hebat akibat kemasukan dari China, Vietnam, Indonesia, New Zealand dan Thailand.
Katanya, harga lelong kubis dan sawi kini hanya sekitar 30 hingga 50 sen sekilogram manakala tomato RM1.20 sekilogram walaupun kos sebenar penanaman mencecah RM2.50 sekilogram, manakala sayur timun Jepun pula dijual serendah 50 sen sekilogram.
“Bayangkan, petani yang mengusahakan tiga ekar ladang kini kerugian sehingga RM10,000 sebulan. Ramai antara kami sedang mempertimbang untuk menjual ladang kerana tidak lagi mampu menanggung beban kos dan kerugian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Katanya, penghapusan subsidi diesel bersasar menambah tekanan kerana pekebun terpaksa menanggung kos bahan api yang tinggi bagi kenderaan pacuan empat roda dan jentera ladang.
“Lebih menyesakkan apabila kadar gaji minimum RM1,700 mula dikuatkuasakan, sedangkan majoriti kami hanya mampu membayar secara harian atau berdasarkan hasil,” katanya.
Setiausaha pertubuhan sama, Chay Ee Mong menggesa pihak bertanggungjawab turun padang segera bagi melihat sendiri kesengsaraan yang ditanggung lebih 5,000 pekebun dari pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli.
“Kalau tidak ada tindakan segera, industri ini akan mati. Jangan sampai kita menyusukan pekebun luar negara sedangkan pekebun sendiri menjadi kurus kering,” katanya.
Menurut data pertubuhan, kira-kira 4,000 hektar tanah di Cameron Highlands dan Lojing digunakan untuk penanaman sayur yang menjadi sumber utama bekalan domestik dan eksport.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Pertanian Cameron Highlands, Chin Nam Fong berkata, kerajaan perlu memperkenal semula subsidi input pertanian seperti baja dan racun serangga, yang harganya kini meningkat mendadak menjelang pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula bulan ini.
Katanya, tanpa intervensi kerajaan, negara terus bergantung kepada sayuran import yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatan.
“Jangan jadikan alasan kekurangan sayur tempatan sebagai lesen untuk membanjiri pasaran dengan hasil luar. Itu bukan penyelesaian jangka panjang,” tambahnya.-UTUSAN











