PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mahu dikenang kerana jawatan atau kuasa, sebaliknya berharap rakyat akan terus menghargai segala sumbangan yang telah dicurahkannya demi kemajuan negara.
Menurut beliau, sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau sentiasa berusaha mengelak daripada menyalahgunakan kuasa dan memilih untuk berbakti sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, tanggungjawab utama seorang pemimpin bukan untuk memenuhi kepentingan peribadi, tetapi untuk menunaikan amanah rakyat serta harapan negara.
“Saya tidak mahu dikenang kerana kuasa. Saya cuma tidak mahu dikecam kerana melakukan perkara yang salah.
“Apa yang saya mahu hanyalah memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya dalam audiosiar Podcast Dr. M yang disiarkan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100, semalam.
Dr. Mahathir memberitahu beliau tidak pernah merancang untuk menjadi Perdana Menteri, malah menyifatkan pelantikannya sebagai satu kebetulan semata-mata.
“Dalam kes saya, saya tidak berusaha untuk menjadi Perdana Menteri. Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan memegang jawatan itu.
“Namun, keadaan pada masa itu menjadikan saya berada di tempat yang betul pada masa yang tepat, dan akhirnya saya dilantik. Ia berlaku secara kebetulan.
“Saya bernasib baik. Secara tidak langsung, ini merupakan pencapaian terbesar dalam hidup saya kerana saya tiba-tiba memegang tampuk pemerintahan negara,” katanya.
Dr. Mahathir turut merakamkan penghargaan atas segala ucapan dan hadiah ulang tahun yang diterimanya, serta bertekad untuk terus menyuarakan kebenaran selagi hayat dikandung badan.
“Saya menerima banyak hadiah, kek, bunga dan surat ucapan. Mencapai usia 100 tahun adalah sesuatu yang agak menakutkan.
“Saya bangun pada pukul 5 pagi hari ini, bukan kerana dipaksa, tetapi kerana sudah terbiasa begitu.
“Saya juga menerima nota ucapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan selamat hari jadi ke-100 kepada saya. Terima kasih,” katanya.
Negarawan ini menyambut ulang tahun kelahiran ke-100, semalam, sekali gus mencipta rekod sebagai bekas Perdana Menteri Tertua Masih Hidup.
Sementara itu dalam hantaran di TikTok, Dr. Mahathir berpesan, jangan tidur terlalu lama kerana ia menyebabkan individu tidak aktif.
“Kalau tidak aktif, lutut akan jadi lemah. Otak juga perlu sentiasa digunakan, bercakap, membaca, menulis. Itu rahsia kekal bertenaga,” katanya.
Katanya untuk mereka yang mahu panjang umur adalah ‘seseorang itu patut makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan.’
Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, Dr. Mahathir mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara.
Beliau mentadbir selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 dan kembali menjawat jawatan sama pada 2018 selepas kemenangan bersejarah dalam PRU14.
Meskipun sudah bersara dari politik beliau kekal lantang menyuarakan pandangan dan kerap berkongsi nasihat kepada generasi muda.
Beliau merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah negara dan terus dihormati atas ketegasan prinsip serta sumbangannya yang besar dalam membangunkan Malaysia moden. – UTUSAN










