KUALA LUMPUR: Pelakon, Azeva Natassha, 24, enggan mengambil pusing sekiranya ada pihak yang menganggap dia menerima laluan mudah ke dalam bidang lakonan disebabkan pengaruh ibunya iaitu penerbit drama dan telemovie, Datuk A. Aida.
Tegasnya, hakikatnya bukan mudah untuk dia mendapat peluang berlakon meskipun berstatuskan anak penerbit tersohor.
“Saya sedar yang saya ini ‘nepo baby’. Tapi saya sentiasa beryukur dengan rezeki dalam bidang ini kerana bukan senang sebenarnya untuk medapatkan peluang berlakon.
“Saya bagaimanapun sentiasa terbuka menerima pandangan orang lain. Cuma apa yang saya harapkan adalah doa yang baik daripada semua orang,” katanya.
Azeva berkata demikian sempena sidang media drama Bos Nak Cuti baru-baru ini.
Drama terbitan A. Aida Production itu turut menampilkan Aniq Suhair dan Ahmad Syafiq serta diarahkan Zul Huzaimy.
Azeva yang baru menamatkan pengajian dalam bidang dalam bidang perakauanan di sebuah universiti di Melbourne terbuka hati untuk berlakon selepas menerima sokongan rakan dan keluarganya.
“Saya ini seorang yang bersikap introvert. Tapi saya mula yakin untuk cuba lagi bidang lakon selepas menerima sokongan daripada orang sekeliling.
“Tapi setakat ini, niat saya jadi pelakon adalah untuk menimba ilmu. Ibu saya pun nasihatkan agar tidak terlalu melibatkan diri disebabkan saya bekerja di syarikat produksinya.
“Jadi, kalau saya nak berlakon pun, mungkin dalam telemovie terbitan A. Aida Production sahaja buat masa ini,” kongsinya.- UTUSAN