GEORGE TOWN : Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun diasak dari pelbagai sudut oleh pembangkang kecuali jika terbukti beliau didapati menyeleweng atau mencuri wang rakyat.
Perdana Menteri berkata, beliau kekal berpegang pada prinsip itu dan tidak akan tunduk kepada tekanan politik sekiranya tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Jadi, apabila ada yang desak saya supaya turun, saya kata, Insya-Allah saya tidak akan turun kecuali kalau saya curi duit rakyat.
“Kalau saya curi, suruhlah saya turun. Tapi, saya tak curi duit orang,” katanya ketika berucap dalam majlis pecah tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar di sini, hari ini.
Pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk daerah Barat Daya khususnya bagi membangunkan kemudahan asas di situ.
Menurut Anwar, kes-kes lama yang sering dijadikan isu oleh pihak tertentu kini tidak lagi relevan, apatah lagi selepas hampir tiga tahun beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Kes saya yang lama itu, lamalah. Saya jadi Perdana Menteri ini sudah masuk tiga tahun.
“Saya dah nyatakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri kalau ada kes, saya tak akan pertahan. Dan, kalau ada pemimpin yang miliki kekayaan RM100 juta, dia kena jawab,” katanya.
Anwar berkata, suasana harmoni dan kestabilan di Malaysia perlu dipelihara dan sebarang perubahan kuasa perlu dilakukan melalui saluran demokrasi yang sah di Parlimen atau pilihan raya umum.
“Guna Parlimen kritik. Kalau dia (pembangkang) ada cukup jumlah, dia bawa usul. Itu cara dia. Tariklah mana-mana ahli Parlimen nak sokong dia, sokong. Kalau saya kalah, saya letak dengan baik. Itu cara aman.
“Kalau tidak, tunggulah pilihan rakyat. Bila? Saya belum beritahu. Tapi sementara ini, jagalah,” katanya.-UTUSAN