PETALING JAYA: Ibu kanak-kanak autistik, Ismanira Abdul Manaf mendakwa dipaksa mengaku membunuh Zayn Rayyan Abdul Matin ketika berada dalam tahanan reman selama 13 hari.
Dalam tempoh sama, wanita itu turut mendakwa dipaksa membuka baju di hadapan seorang anggota polis wanita tanpa mengetahui tujuan diarah berbuat demikian.
Ismanira turut menyatakan diugut, dipukul dan ditakut-takutkan sewaktu disoal siasat di sebuah banglo yang didakwa sebagai safe house (rumah selamat).
Bagaimanapun, Ismanira juga menyatakan menerima sokongan daripada beberapa anggota polis lain yang bersimpati dengannya.
“Satu golongan mereka bersimpati dan mengatakan yang mereka tahu saya tidak bersalah. Mereka yang bersimpati meminta saya bersabar dan lawan jika perkara tersebut tidak benar, bertahan sampai habis reman.
“Namun, satu lagi golongan polis tidak puas hati dan terus menekan saya dengan tuduhan yang saya tidak buat,” katanya.
Ismanira membuat pendedahan itu ketika pemeriksaan utama oleh peguam Haresh Mahadevan pada hari kedua memberikan keterangan bela diri, semalam.
Ismanira berkata, dia ditahan reman kira-kira enam bulan selepas kematian anaknya.
Haresh: Adakah anda memberi kerjasama pada pihak polis semasa mereka jalankan soal siasat?
Ismanira: Ya, saya beri kerjasama yang baik.
Haresh: Dan adakah pihak polis puas hati dengan kerjasama yang anda berikan?
Ismanira: Tidak. Kerana mereka menuduh saya mengarang cerita dan (buat) perkara yang saya tidak lakukan.
Haresh: Apakah cerita yang mereka karang yang anda tidak
lakukan?
Ismanira: Mereka (polis) cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai anak saya lalu membunuh anak saya sendiri. Apabila saya menafikan, mereka tetap tidak puas hati.
Ismanira turut berkeras mempertahankan kenyataan bahawa dia tidak pernah membiarkan Zayn Rayyan bersendirian, kecuali pada waktu bekerja dan sesi persekolahan.
“Saya tidak mengabaikan Zayn seumur hidup saya dan khususnya pada waktu dan masa dalam pertuduhan itu, saya tidak berada di blok R sepanjang masa dan saya tidak pernah ke kawasan sungai seperti dalam pertuduhan.
“Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn sepanjang usia Zayn. Saya hanya berpisah dengan Zayn pada waktu saya bekerja dan waktu Zayn di sekolah sahaja. Saya tidak pernah membiarkan Zayn bersendirian atau mengabaikan,” katanya.
Kelmarin, Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Pasangan itu didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










