SEPANG: Pelakon dan pelawak, Along Cham menegaskan bahawa tindakannya melarang isteri, Afreena Suhaimi daripada berhubung dengan bekas isterinya, Zila Seeron dilalukan atas sebab tertentu.
Bagaimanapun, menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad Zali, dia enggan mendedahkan sebab tersebut kepada umum.
Tambah Along, dia juga kesal apabila perkahwinan keduanya yang diharapkan menjadi ruang kasih sayang buat anaknya, Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin, tidak menjadi seperti diharapkan.
“Saya ada sebab tersendiri mengapa saya melarang dia berhubung dengan bekas isteri saya.
“Saya mahu perkahwinan ini menjadi tempat anak saya mendapat kasih ibu, tetapi sebaliknya yang berlaku. Dia kata ia atas naluri seorang ibu, tapi jika benar begitu, mengapa sebelum ini tidak pernah mengaku anak sebagai anak?
“Saya sudah beri peluang kepada bekas isteri untuk datang jenguk anak kami, tapi ia tidak berlaku,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kedua kes permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Along mendakwa wujud unsur ‘agenda tersembunyi’ apabila mendapati isterinya berhubung dengan Zila, terutama ketika dia sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh.
“Saya rasa seolah-olah ada niat untuk serahkan anak saya kepada bekas isteri saya semasa saya tiada. Apa motifnya?,”katanya.
Dalam pada itu, Along turut menegaskan bahawa tindakan isterinya melanggar taklik bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, apatah lagi ia memberi kesan kepada proses undang-undang yang sedang berlangsung.
“Dari segi syarak, lafaz talak telah pun berlaku. Sekarang hanya tinggal proses pengesahan sahaja.
“Sebagai wanita Islam, dia sepatutnya maklum bahawa dia telah melanggar taklik, dan tidak perlu buat pelbagai kenyataan di media.
“Kalau dia kata tidak faham, itu tidak masuk akal. Isu ini asas dalam rumah tangga Islam dan banyak contoh telah dipaparkan di televisyen, dalam drama sekalipun,” jelasnya.
Dalam pada itu, kes berkenaan dijadualkan bersambung Khamis ini.-UTUSAN