MELAKA: Seorang anggota polis berpangkat sarjan didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM2,000 daripada seorang wanita tanpa balasan, empat tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Hazwan Ahad, 37, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan.
Mahkamah turut mengarah tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima suatu benda berharga iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 daripada seorang wanita tanpa sebarang balasan yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di Jalan RI 1, Taman Rambai Idaman dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Mac 2021.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hazrin Alif Wahab. – UTUSAN










