KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM2.25 juta bagi tempoh tiga tahun untuk memperkukuh operasi dan penempatan kakitangan Teratak Kasih Tok Nan (TKTN), sebuah pusat penjagaan bagi individu yang menghidap HIV (PLHIV).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sebagai pengiktirafan kerajaan ke atas penubuhan pusat tersebut yang akan turut diperluaskan ke Miri dan Bintulu, sekali gus menyediakan penjagaan kesihatan yang bukan hanya terhad kepada aspek rawatan, sebaliknya turut merangkumi nilai kemanusiaan, penerimaan dan kepercayaan.
“Melalui Teratak Kasih Tok Nan, anda telah membina bukan sekadar sebuah fasiliti tetapi juga sebuah tempat perlindungan yang menawarkan keselamatan, maruah dan harapan baharu kepada mereka yang sangat memerlukan.
“Komitmen anda dalam membantu golongan kurang berkemampuan serta mengangkat suara golongan terpinggir telah meninggalkan kesan yang mendalam dan berkekalan di Sarawak,” katanya.
Beliau menyatakan demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam Majlis Gala Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Kuching 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Penaung MAF Borneo, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu atas kepimpinan dan komitmen beliau yang membantu menubuhkan TKTN pertama pada tahun 2016, dalam usaha meneruskan legasi Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, yang lebih dikenali sebagai Tok Nan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak memandang serius isu berkaitan HIV dan AIDS memandangkan peningkatan kes baharu yang membimbangkan.
“Tiada ruang untuk leka. Sarawak turut komited dalam menyokong usaha nasional yang memastikan rawatan HIV barisan pertama diberikan secara percuma kepada semua yang memerlukan,” katanya.
Abang Johari turut menyatakan sokongan kerajaan negeri terhadap Program Perkhidmatan HIV Berbeza bagi Populasi Utama (DHSKP) hasil kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan rakan pelaksana.
“Usaha MAF Sarawak yang mengamalkan model kerjasama strategik bersama kerajaan dan pihak swasta seperti Kumpulan Sunway dan Yayasan PETRONAS dalam memperluas perkhidmatan DHSKP ke kawasan luar bandar dan pedalaman wajar dipuji,” ujarnya.
Sumbangan Kerajaan Sarawak sebanyak RM2.25 juta itu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang berjaya dikumpul sepanjang Majlis Gala MAF Kuching 2025 mencecah RM3.5 juta.
Dana tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk menyokong kelangsungan serta peluasan model rumah perlindungan dan program capaian luar TKTN, yang bermula di Kuching, diperluas ke Miri dan kini bersiap sedia untuk diperkenalkan di Bintulu pada tahun hadapan.
Antara penyumbang lain yang turut memberikan sokongan termasuk Yayasan Telekom Malaysia, PETRONAS LNG, Kumpulan Pekat, Bank Affin, Lembaga Pelabuhan Bintulu, TAS Offshore, Kumpulan Berjaya, Pusat Perubatan Timberland dan Ibraco Berhad. – UTUSAN











