GEORGE TOWN : Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat hari ini mahu kerajaan memperhalusi semula pemberian bantuan ‘one-off’ sebanyak RM100 kepada semua warga tempatan berusia 18 tahun ke atas yang layak.
Pengerusinya, L. Francis berkata, hal ini demikian kerana, mereka hanya mahu bantuan tersebut diberi kepada individu yang benar-benar layak menerima atau mereka yang betul-betul memerlukannya sahaja.
Katanya, dalam hal ini, kerajaan sepatutnya menilai semula latar belakang kewangan penerima dan bukannya menyalurkan bantuan berkenaan secara menyeluruh termasuk kepada golongan yang ditafsirkan sebagai ‘maha’ kaya.
“Kami tidak pertikaikan pengumuman bantuan sebanyak RM100 secara ‘one-off’ itu kerana memang ada rakyat yang benar-benar memerlukan wang tersebut ketika ini.
“Tapi, persoalannya, adakah berkesan sekiranya wang RM100 itu diberikan kepada semua golongan termasuk golongan ‘maha’ kaya ini?
“Daripada diberikan kepada semua, adalah lebih baik sekiranya pemberian tersebut ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan sahaja kerana nilai RM100 yang bakal diagihkan itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas kebanyakan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, penilaian semula pendekatan atau kaedah penyaluran bantuan harus dilakukan pada masa hadapan agar golongan yang benar-benar layak serta berdepan dengan tekanan kewangan harian akan menerima manfaat daripada pemberian berkenaan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan Madani kepada rakyat.
Selain pemberian bantuan RM100 secara ‘one-off’ di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif lain termasuk penurunan harga petrol bagi RON95 kepada RM1.99 mulai September, penangguhan kenaikan tol dan sebagainya.-UTUSAN