KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menunaikan janji reformasi yang pernah dilaungkan, malah kini mempunyai reputasi lebih buruk daripada pemimpin terdahulu.
Berucap dalam Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di ibu negara hari ini, Muhammad Sanusi berkata, rakyat sudah terlalu lama digula-gulakan dengan janji manis Anwar, namun selepas diberi kuasa, tiada sebarang perubahan berlaku seperti yang dijanjikan.
“Kita berhimpun pada hari ini, 26 Julai, satu tarikh penuh keramat untuk menyatakan pendirian bahawa Anwar bukan sahaja gagal menunaikan janji, malah lebih teruk daripada pemimpin sebelum ini.
“Dia dulu himpunkan rakyat dengan laungan reformasi, tapi hari ini setelah diberi kuasa, semua itu hilang entah ke mana,” katanya.
Sanusi berkata, himpunan kali ini bukan bertujuan untuk menyerang mana-mana individu, sebaliknya menjadi isyarat jelas bahawa rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada.
“Kita bangkit bukan sebab benci, tetapi kerana sayangkan negara ini. Kita tidak mahu melihat Malaysia terus rosak di tangan pemimpin yang angkuh dan gagal,” ujarnya.
Himpunan anjuran beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan parti-parti pembangkang itu menyaksikan penyertaan ratusan peserta dari pelbagai latar belakang, yang berkumpul di empat lokasi utama sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Antara slogan yang dilaungkan termasuk “Turun Anwar”, “Tolak Kerajaan Gagal” dan “Selamatkan Malaysia”, manakala peserta turut membawa sepanduk dan kain rentang sebagai simbol bantahan.
Turut hadir dalam perhimpunan tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; ; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan beberapa pimpinan utama pembangkang lain.
Walaupun hujan renyai mula turun sejak jam 3 petang, ia tidak mematahkan semangat peserta yang terus bertahan di Padang Merdeka sambil mendengar ucapan-ucapan pemimpin yang hadir.
Sehingga pukul 3 petang, suasana masih terkawal dengan pemantauan pihak polis dan pasukan keselamatan bagi memastikan kelancaran himpunan.-UTUSAN