Sakit buah pinggang kronik bukan alasan tidak bekerja

Sakit buah pinggang kronik bukan alasan tidak bekerja

AZMIZA Zainol tetap cergas di tempat kerjanya walaupun menghidap penyakit buah pinggang kronik ketika ditemui di sebuah syarikat pengeluaran ayam di Jalan Kangkong, Alor Setar, Kedah. – UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Selagi boleh ba­ngun, saya akan terus bekerja. Saya tidak mahu hidup bergantung pada simpati. Sekarang sudah 15 tahun dialisis dan orang kata hayat pesakit seperti saya kalau tahap ini, sudah nyawa-nyawa ikan tetapi mungkin saya masih muda.”

Luah Azmiza Zainol, 38, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik, namun masih mengerah kudrat mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah syarikat pengeluaran ayam di Jalan Kangkong di sini.

Ketika ramai orang masih dibuai mimpi, Azmiza sudah pun duduk di kerusi rawatan, berteman jarum dan mesin dialisis untuk menyaring darah di sebuah pusat dialisis.

Tepat pukul 10.30 pagi pula, dia sudah bersedia untuk menekan kad perakam waktu di tempat kerjanya.

“Inilah rutin saya tiga kali seminggu yang wajib dila­lui. Bukan pilihan tetapi perjuangan untuk terus hidup dan mencari rezeki yang halal untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Azmiza yang masih bujang pernah menganggur selama dua tahun setelah tempat kerja lamanya ditutup dan berdepan kesukaran mencari kerja baharu disebabkan perlu melakukan rutin dialisis.

“Nasib baik majikan saya sekarang mahu terima saya be­kerja dengan jadual yang fleksibel. Saya masuk kerja 10.30 pagi dan pulang 4.30 petang,” katanya.

Katanya, dia hampir putus asa dengan takdir yang me­nimpanya, namun tidak pernah terlintas untuk mengaku kalah malah terus berusaha.

“Saya hendak berdikari, tidak mahu susahkan orang walaupun sakit. Saya boleh saja tinggal di rumah dan terima bantuan, namun saya pilih untuk keluar bekerja. Lagipun bila bekerja fikiran jadi lebih terbuka dan seronok dapat jumpa ramai orang berbanding kalau duduk rumah sahaja tentu stres,” katanya.

Azmiza yang didiagnosis penyakit itu ketika masih remaja dan menghidap darah tinggi pada usia 16 tahun berkata, de­ngan gaji bulanan yang di­terima, dia mampu menampung kehidupan seharian termasuk membantu keluarga.

“Saya tidak mendapat apa-apa bantuan cuma dialisis dibantu oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana saya mempunyai caruman. Jika tidak kena bayar juga RM180 setiap kali dialisis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN