PETALING JAYA: Band rock popular, My Chemical Romance (MCR) dijadualkan mengadakan konsert di Kuala Lumpur (KL) tahun hadapan sempena siri jelajah mereka di Asia Tenggara.
Perkara itu disahkan secara rasmi menerusi poster yang dimuat naik di Instagram MCR menunjukkan KL menjadi salah satu daripada lima destinasi konsert yang lain.
Menurut hantaran penyanyi I Don’t Love You itu, persembahan di Malaysia akan berlangsung pada 30 April tahun hadapan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun belum ada butiran terperinci mengenai harga tiket, tarikh dan cara pembelian tiket tersebut.
Warga maya rata-rata teruja dengan pengumuman itu memandangkan kali terakhir band asal Amerika Syarikat itu mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 2007 menerusi konsert The Black Parade Tour.
“MCR betul-betul datang Malaysia, kali ini bukan scam atau konsert tribute” tulis satu peminat.
“Jarang pagi Isnin dapat berita gembira, dah siap nak perang tiket,” katanya peminat yang lain.
“Rasa sakit jantung terkejut bila tengah sarapan dapat info MCR datang Malaysia,” katanya.