Rugi RM4.8 bilion akibat kegiatan bitcoin haram  - Utusan Malaysia

Rugi RM4.8 bilion akibat kegiatan bitcoin haram 

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir ketika meninjau premis dalam operasi membanteras perlombongan bitcoin secara haram di sekitar Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian hasil tenaga sebanyak RM4.8 bilion sejak 2018 sehingga Jun tahun ini akibat aktiviti perlombongan bitcoin secara haram. 

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, Suruhanjaya Tenaga (ST) menjangkakan kegiatan ini akan semakin rancak dan berleluasa ekoran kenaikan nilai mata wang kripto itu ketika ini. 

“Kegiatan ini mula suram sedikit sekitar 2022 dan 2023 tetapi berlaku peningkatan ketara pada 2024 dan kita jangkakan tahun ini akan terus meningkat. Kerugian direkodkan meningkat dari RM43 juta pada 2018 dan terus bertambah saban tahun hingga mencecah angka bilion. 

“Ia bertambah RM4.8 bilion disebabkan kecurian tenaga oleh perlombongan Bitcoin ini sehingga Jun lalu. Kita jangkakan tahun ini akan terus meningkat kerana difahamkan harga bitcoin sedang naik melambung,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui setelah menyertai operasi penguatkuasaan ST ke atas tujuh premis yang disalahguna bagi kegiatan melombong bitcoin di sekitar bandar raya ini, hari ini. 

Tambah Akmal Nasrullah, berdasarkan pemerhatiannya pihak terlibat juga dilihat semakin berani menjalankan kegiatan tersebut selain menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa. 

“Sindiket kini dikesan menjalankan kegiatan itu secara terbuka termasuk di premis yang terletak di jalan besar. Kita nampak bahawa mereka semakin berani, mereka mengaburi jiran-jiran tetangga misalannya di premis mereka guna speaker bunyi burung untuk tutup kegiatan itu.

“Ketika serbuan, pihak berkuasa menemui 80 mesin perlombongan yang beroperasi bagaikan pendingin hawa berkuasa tinggi dan menyebabkan penggunaan tenaga melampau. 

“Perumpamaannya satu mesin itu seolah-olah sebiji pendingin hawa berkuasa 2.5 hp. Anggaran kerugian ataupun kecurian yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini adalah sekitar RM86,000 sebulan untuk satu premis sahaja,” jelasnya. 

Menurut beliau, pihak terlibat akan terus memperhebat operasi dan pemantauan ke atas aktiviti perlombongan haram dan menyeru orang awam agar lebih peka serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengesyaki aktiviti mencurigakan berlaku di kawasan sekitar. 

“Perkara ini juga memerlukan kesedaran orang ramai, iaitu sekiranya dilihat ada premis yang menebuk lubang secara haram, nampak kabel itu ditarik masuk bukan melalui meter. Laporkan, perkara ini kalau kita sama-sama cegah ia akan lebih mempercepat proses menghentikan kecurian yang berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN