PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi titik tolak penting dalam usaha memacu negara ke arah pembangunan yang lebih mampan, berdaya tahan dan progresif dalam tempoh lima tahun akan datang.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, RMK13 turut meletakkan agenda peralihan tenaga dan transformasi sektor air sebagai antara teras utama, selaras dengan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.
“Bagi mempercepat peralihan tenaga negara, penambahbaikan sistem pembekalan elektrik akan dilaksanakan melalui pembangunan grid pintar, penggunaan sistem penyimpanan tenaga (BESS) berkapasiti 400 megawatt selama empat jam yang dijangka menarik pelaburan sebanyak RM2.5 bilion.
“Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik dan Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025 pula akan membolehkan pembentukan Pengendali Pasaran (Market Operator) bagi menyelaras pasaran elektrik rentas sempadan, sekali gus merealisasikan Asean Power Grid (APG),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadillah berkata, usaha memperkasa tenaga boleh baharu (TBB) turut diperhebat menerusi pelaksanaan projek solar, hidro dan penerokaan teknologi hijau yang lebih efisien termasuk tenaga nuklear bersih di bawah kerangka pembangunan NEPIO (Nuclear Energy Programme Implementing Organisation).
Bagi sektor air, beliau berkata, RMK13 memperkukuh pengurusan sumber secara mampan melalui pelaksanaan Projek Tebatan Banjir (RTB) di kawasan berisiko tinggi seperti Bandaraya Kuching, Lembangan Sungai Johor, Sungai Pahang, Baling, Sungai Likas dan Sungai Trolak.
“Teknologi kecerdasan buatan (AI) turut diterapkan dalam sistem amaran awal banjir untuk ramalan yang lebih pantas dan tepat.
“Selain itu, Pelan Transformasi Air menyeluruh turut memberi penekanan kepada pengurangan kadar Air Tidak Terhasil (NRW), penggunaan semula air pulih guna serta galakan terhadap inovasi teknologi tempatan,” katanya.
Mengulas pembangunan di Sabah dan Sarawak, Fadillah berkata, beliau menyambut baik pelaksanaan projek sambung tara grid dari Sarawak ke Semenanjung yang selari dengan aspirasi Sarawak sebagai hab TBB berasaskan kuasa hidro.
Katanya, RMK13 turut memberi tumpuan kepada pembangunan hab ekonomi biru di Sabah, peningkatan kapasiti pelabuhan, penyegerakan projek mitigasi banjir serta penyediaan infrastruktur asas melalui pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Trans Borneo.
“Kerajaan juga komited untuk memperluas pemakaian Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 ke Sabah dan Sarawak, di samping memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara, khususnya di utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Tumpuan juga diberikan kepada pembangunan sosioekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak melalui pemerkasaan bakat, peningkatan infrastruktur dan kemudahan asas,” katanya. – UTUSAN










