KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM844,000 diperuntukkan kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) di bawah Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal untuk membantu golongan usahawan memiliki kenderaan yang boleh digunakan bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, skim itu bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan usahawan yang memerlukan motosikal sebagai alat utama dalam operasi harian mereka.
Katanya, skim tersebut mampu memberi manfaat kepada 160 usahawan di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lima penerima di setiap kawasan.
“Penyelaras DUN akan mengenal pasti lima usahawan di setiap masing-masing dan mengesahkan bahawa pemohon adalah layak berdasarkan syarat yang telah ditetapkan bagi Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal.
“Antara golongan sasaran bagi Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal adalah pekerja sektor GIG seperti penghantar makanan, kurier dan perkhidmatan e-dagang. Ia termasuk Individu yang baru memulakan perniagaan kecil dan memerlukan motosikal sebagai modal utama,” katanya. – UTUSAN










