Rayuan ditolak kerana tiada terjemahan Bahasa Melayu

Rayuan ditolak kerana tiada terjemahan Bahasa Melayu

cabul
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Ra­yuan di sini, semalam menolak rayuan pegawai khas kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung saman fitnah RM100 juta terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi memutuskan kegagalan perayu, Mabel Sheela Mutthiah untuk mengemukakan terjemahan artikel yang didakwa berunsur fitnah ke dalam Bahasa Melayu merupakan satu ketidakpatuhan terhadap peraturan mahkamah.

“Kami terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa adalah menjadi keperluan bagi perayu (untuk) mengemukakan terjemahan Bahasa Melayu bagi artikel yang dipertikaikan.

“Dalam kes ini, tiada terjemahan artikel disediakan dan ini jelas satu ketidakpatuhan terhadap Aturan 92 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

“Kami dapati tiada kesilapan boleh dirayu dalam keputusan Mahkamah Tinggi. Maka, rayuan ini ditolak dengan kos RM10,000,” kata Hakim Azizah.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Mabel diwakili peguam Datuk David Gurupatham dan R. Venothani manakala Rewcastle-Brown diwakili Guok Ngek Seong dan Phyllia Lim.

Saman difailkan Mabel pada 2019 berhubung tiga artikel diterbitkan dalam portal Sarawak Report termasuk artikel bertajuk ‘How AG’s Office Connived to Prevent a Second Post-mortem on Kevin Morais – Exclusive Expose’ yang me­ngaitkannya dengan penghantaran mesej kepada keluarga mendiang Kevin Morais.

Mabel menafikan dakwaan dalam artikel itu dan memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi serta perintah mahkamah supaya artikel itu dipadamkan.

Pada 2 Mei 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menyatakan keperluan untuk penyataan tuntutan lengkap dalam Bahasa Melayu berdasarkan kedudukan sebagai Bahasa Kebangsaan.

Ia sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

Hakim menyatakan, Mabel membuat inferens mengenai maksud artikel-artikel itu yang didakwa salah satu daripada tiga artikel itu bersifat fitnah dan mencemarkan reputasi­nya, namun tidak mengemukakan sebarang terjemahan yang diperakui dalam Bahasa Melayu kepada mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×