Rasa kosong bila ibu tiada dengan saya - Wani Kayrie - Utusan Malaysia

Rasa kosong bila ibu tiada dengan saya – Wani Kayrie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya tidak tahu sampai bila Tuhan akan pinjamkan ibu untuk saya.”

Demikian luahan penyanyi, Wani Kayrie yang menganggap ibunya, Rukiah Kalapukong, 47, sebagai sumber kekuatan untuknya teguh berdiri dalam industri seni.

Menurut Wani, ibunya merupakan tulang belakang utamanya yang sentiasa berada di sisinya dan menyokong kerjaya seninya sejak kecil lagi.

“Sejak ayah saya tiada, saya membesar dengan ibu sejak kecil. Dia merupakan tulang belakang saya yang paling kuat dan mendorong saya untuk menyertai pelbagai pertandingan.

“Kini, ibu saya sudah lepaskan saya bersama syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment. Dia juga sudah mempunyai pekerjaannya sendiri.

“Jadi, segalanya rasa lain dan terasa kosong apabila keberadaan ibu tiada di sisi terutamanya ketika saya melancarkan album baharu kali ini,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran album terbaharunya, W2K di sini, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Wani juga gagal menahan air mata kerana terharu menerima kiriman surat daripada ibu tercinta yang tetap memberi kata semangat meskipun tidak berada di acara tersebut.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Biarkan itu mengakui keutamaannya pada ketika ini adalah ibunya bahkan mahu membahagiakan insan tersayang selagi dikurniakan kesempatan.

“Sebelum ini, saya pernah beritahu bahawa ibu saya kurang sihat. Usia saya juga sudah masuk 25 tahun, bila-bila masa sahaja saya boleh melangkah ke fasa seterusnya. Jadi inilah masanya untuk saya balas jasa ibu dan membantu adik-beradik lain.

“Banyak perkara yang bermain dalam fikiran. Antaranya, saya selalu fikir kalau ibu sakit, siapa yang akan menjaganya? Disebabkan itu, apa sahaja berkaitan emak saya akan sedih,” kongsinya.

Pada Jumaat lalu, Wani melancarkan album sulungnya, W2K yang menghimpunkan lima lagu seperti Cak Cak Cekuk, Serius Ah, Aiman Tino, Matahari dan Biarkan.

Album itu turut mendapat sentuhan daripada beberapa komposer ternama seperti Iqie Hugh, Hanis Rafi, Omar K, Shazriq Azeman, MFMF, Ezra Kong, Shane Kennedy dan Karim Karam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN