KUALA LUMPUR: Meskipun ramai wajah baharu muncul dalam industri lakonan, khususnya dari platform media sosial, pelakon, Chacha Maembong mengakui kehadiran mereka tidak pernah menggugat rezekinya dalam industri seni tanah air.
Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail, 29, berkata setiap pelakon mempunyai rezeki dan tempat tersendiri dalam dunia lakonan.
“Secara jujurnya, memang ramai pelakon baharu masuk ke industri sekarang tapi saya tak terkesan pun.
“Alhamdulillah, masih ada produser dan pengarah yang ingat dan percaya dengan kemampuan lakonan saya.
“Bagi saya, perkara itu tidak mengganggu rezeki saya dan kalau ada watak yang sesuai dengan saya, mereka (produksi) masih panggil untuk berlakon.
“Saya percaya rezeki masing-masing dan dalam masa yang sama rezeki buat pelakon baharu juga,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Mandul Bukan Pilihan dan Thariq Ridzuwan: His Treasure di TGV KLCC, baru-baru ini.
Adik kepada pelakon Emma Maembong itu turut menyifatkan kehadiran bakat baharu dari media sosial sebagai perkembangan yang positif, selagi mereka bersedia dan benar-benar komited semasa di set penggambaran.
“Saya pernah berada di zaman sosial media masih belum naik lagi, bila masuk set penggambaran, saya hanya pegang skrip sahaja bersama pengarah.
“Berbeza dengan zaman sekarang, ada pelakon yang saya panggil ‘instant’, sebab mereka mudah dapat watak dan terus berlakon. Tapi bagi saya, selagi mereka tak kacau kerja saya, orang lain dan mampu menjiwai watak tersebut dengan baik, tiada masalah,” ujarnya.
Chacha turut berkongsi bahawa sepanjang pengalamannya berlakon dengan pelakon generasi baharu, kebanyakan mereka menunjukkan minat untuk belajar dan terbuka menerima tunjuk ajar.
“Sepanjang saya berlakon, saya tak pernah berdepan dengan pelakon baharu yang teruk sangat. Setakat ini, semua yang saya jumpa memang ada keinginan untuk belajar.
“Kalau masa ‘rehearsal’ mereka tak pandai sampaikan dialog atau kurang faham babak, mereka akan minta tunjuk ajar dan saya akan bantu.
“Saya selalu cakap, kalau dah masuk dalam industri ni, selagi ada kemahuan untuk belajar, insya-Allah boleh pergi jauh. Saya sendiri pun sampai sekarang masih belajar,” katanya. – UTUSAN