Rakyat Perak dinasihat tidak sertai Himpunan Turun Anwar - Utusan Malaysia

Rakyat Perak dinasihat tidak sertai Himpunan Turun Anwar

SAARANI Mohamad berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Rakyat negeri ini dinasihatkan agar tidak menyertai Himpunan Turun Anwar di ibu negara pada 26 Julai ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, himpunan jalanan itu bukan kaedah terbaik dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan negara ini, sebaliknya rakyat perlu menunggu pilihan raya umum untuk menukar kerajaan baharu secara sah dan berperlembagaan.

Katanya, tindakan menyertai demonstrasi itu bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang hasil malah dikhuatiri mencetuskan kekacauan sekali gus memberi implikasi buruk kepada pelabur.

“Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau ada mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak boleh ditumbangkan melalui demontrasi.

“Kita mengamalkan demokrasi berparlimen bermakna rakyat boleh memilih kerajaan baharu pada pilihan raya umum. Kita tak boleh tiru negara lain, kalau kita mulakan ini, siapa-siapa pun jadi Perdana Menteri atau kerajaan selepas ini, mana-mana rakyat yang tidak setuju, mereka akan berarak hari-hari.

“Ini bukanlah satu proses demokrasi yang baik. Selain menimbulkan hiruk-pikuk, ia juga akan menyebabkan pelabur lari. Jadi orang Perak, saya nasihatkan tidak perlu pergi 26 Julai ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas di Dewan Inderawati, di sini hari ini.

Menurut Saarani, tujuan sebenar perhimpunan itu juga tidak lagi relevan kerana sebelum ini, ia kononnya dianjurkan berikutan isu pelantikan Ketua Hakim Negara sedangkan pelantikan baharu telah pun selesai dilakukan.

Malah apa yang menghairankan katanya, tiada sebarang isu baik yang diceritakan berkaitan kenaikan gaji, kenaikan bantuan kerajaan kepada orang miskin dan mata wang Malaysia yang semakin kukuh di pasaran.

“Dulu untuk tuntut pelantikan ketua hakim negara yang baru, sekarang dah lantik jadi apa isunya? Melainkan hanya untuk bawa orang berpanas di situ. Menjerit buat huru-hara, kemudian pelabur-pelabur lari.

“Jadi siapa yang rugi? Mereka yang negarawan sudah dapat pencen dan kaya raya. Yang deritanya nanti adalah orang kampung, kesianlah kepada orang kampung,” katanya.

Dalam pada itu Saarani berkata, jika benar matlamat himpunan adalah untuk mendesak perubahan kepimpinan, rakyat perlu sedar hakikat bahawa tiada gabungan lain yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

“Jika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun awal siapa yang akan naik? Mungkin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Jadi apa yang mereka cari sebenarnya?

“Kalau Anwar turun, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak boleh jadi Perdana Menteri kerana Perikatan Nasional (PN) hanya ada 73 kerusi. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin pun tidak boleh sebab PN ada 73 kerusi.

“Beritahu rakyat perkara sebenar, jangan hanya beri harapan palsu. Kesian pada rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN