Nama Raisa Andriana bukan lagi asing dalam dunia seni suara serantau.
Bagaimanapun, di sebalik glamor dan sorotan lensa kamera, Raisa mengakui bahawa sebagai figura awam dan juga seorang selebriti, dia juga tidak terlepas daripada berdepan pelbagai ekspektasi daripada pelbagai pihak.
Baik itu daripada keluarga, peminat, rakan kerja mahupun masyarakat secara umum.
“Di luar pekerjaan, apa lagi saya sebagai seorang figura awam atau sebagai pemuzik, pasti semua orang di sekitar kita punya ekspektasi. Orang tua, keluarga, teman, bos, teman kerja, semua ada harapan masing-masing terhadap saya, sesuatu yang mustahil dapat saya lari.
“Tetapi, saya tidak menafikan bahawa ke semua ekspektasi daripada pelbagai pihak itu sering menjadi cabaran besar dalam menentukan hala tuju seni saya.
“Dengan pekerjaan yang memang disorot banyak orang seperti saya ini, jadi pasti banyak ekspektasi dan harapan yang datang dari mana-mana dan semuanya itu berbeza-beza,” jelasnya.
Lebih menarik, Raisa mendedahkan bahawa segala pandangan dan jangkaan itu bukan sekadar dilihat secara sepintas lalu, sebaliknya diperhalusi sebagai bahan pertimbangan dalam membuat keputusan berkaitan imej dan identiti seninya.
“Sebenarnya itu sangat penting untuk saya tahu. Itu juga jadi pertimbangan saya dan juga pasukan di belakang saya untuk fikirkan, tentang trend di luar sana macam mana, ekspektasi orang macam mana.
“Imej Raisa itu sendiri, apa yang mahu dipertahankan, apa yang perlu diperbarui, apa yang mahu diubah supaya lebih segar.
“Dan yang paling penting, apa sebenarnya inti atau teras seorang Raisa itu sendiri,”katanya mendalam.
Bagaimanapun, kata anak jati Jakarta, Indonesia ini, di sebalik semua pertimbangan profesional, dirinya tetap berpegang teguh kepada prinsip utamanya iaitu menjaga kesucian seni yang dicipta dengan jujur.
“Akhirnya, semua itu jadi bahan pertimbangan di bahagian pemasaran. Tapi dari sisi muzik, dari sisi seni, aku sangat-sangat berusaha untuk menjaganya agar tetap murni.
“Kadang-kadang kalau saya dan pasukan tulang belakang sedang berbual, saya suka tanya, apakah ekspektasi orang terhadap album ini? Lagu-lagu mana yang paling orang suka? Lagu mana yang jumlah tontonannya paling banyak? Strim lagu paling tinggi?
“Namun semua perbincangan itu hanya tinggal di luar studio. Apabila proses penciptaan bermula, semua ekspektasi dan data yang dikumpul sebelum ini ditinggalkan di pintu masuk.
“Jika tidak, nanti saya tidak akan mampu menulis sesuatu yang jujur,”katanya.
ANTARA PUJIAN, TEKANAN
Tambah Raisa lagi, tekanan untuk memenuhi jangkaan ramai bukan perkara kecil.
Baginya, jika terlalu tunduk pada ekspektasi luar, sebuah album boleh kehilangan identiti dan menjadi kacau-bilau.
“Berat sangat rasanya kalau harus mengikuti ekspektasi banyak orang. Nanti takutnya, album jadi tak menepati konsep, satu lagu untuk yang ini, satu lagu untuk yang itu. Akhirnya tidak jujur.
“Sebab itu, saya memilih untuk kembali kepada niat asal iaitu menghasilkan muzik yang mencerminkan isi hati saya sendiri tanpa cuba memenuhi kehendak semua orang.
“Saya mahu album itu benar-benar mampu membanggakan dan memberikan saya kepuasan,”katanya.
AmbiVert
Baharu sahaja melancarkan album kelima berjudul AmbiVert, Raisa mengakui, album tersebut bukan sekadar kesinambungan diskografi, tetapi penanda penting perjalanannya sebagai penyanyi dan penulis lagu yang selalu berjaya dalam meneroka rasa.
“Ketika mula-mula masuk studio, saya tidak memikirkan apa-apa. Tidak terfikir ingin menghasilkan album seperti ini atau seperti itu. Tidak sama sekali. Tiada apa yang mahu saya buktikan.
“Saya sudah ada empat album yang mewakili fasa kehidupan saya. Sekarang, saya dalam fasa tidak mahu dibebani apa-apa dan hanya ingin jujur dalam menulis lagu,” ungkapnya.
Raisa juga menulis sebelas trek dalam album ini dengan 10 antaranya dihasilkan menerusi bengkel bersama para produser di sebuah villa di kawasan Sentul, Jawa Barat.
Memilih Lafa Pratomo, Rendy Pandugo dan Rishanda Singgih sebagai produser, Raisa juga yakin air tangan mereka mampu menyuntik ‘rasa’ mendalam.
Malah, ketika bercerita mengenai ambiVert, Raisa berkata, tajuk iu dipilih kerana ia berkisar mengenai karakter manusia yang tidak terlepas daripada kehidupan yang penuh warna dan pada sisi lain, kerapuhan yang sering menyerang tatkala bersendirian.
“Rata-rata orang itu ambivert. Tidak mungkin ada yang 100% extrovert dan tidak ada sisi introvert sama sekali. Begitu juga sebaliknya. Itu yang digambarkan album ini.
“Ketika bersantai dengan teman-teman, ada lagu ‘It’s Okay To Not Be Okay’ atau ‘Ternyata Tanpamu.’ Tetapi, ketika bersendirian, refleksi diri atau memasuki zon introvert, terdapat lagu-lagu seperti ‘I’ll Be Waiting.’
“Semua sisi ambivert dapat ditemukan dalam album ini,” ungkapnya.
Tidak cuma itu, cerita Raisa, dia juga memilih dua sahabat lamanya, Barsena Bestandhi menerusi lagu Awal Kisah Selamanya, dan pendatang baharu yang sedang mencuri perhatian, Rony Parulian, dalam Tetap Bukan Kamu, untuk berkolaborasi dalam album ini.