BENTONG: Siapa sangka hanya dengan menanam kelapa jenis Sungai Gulang-Gulang (SGG), seorang usahawan desa mampu meraih pendapatan mencecah RM13,000 sebulan tanpa bergantung kepada orang tengah atau bantuan modal besar.
Bermula secara kecil-kecilan dengan hanya 500 pokok di Kampung Lebu, di sini, Abu Hassan Abdullah, 55, kini membuktikan tanaman kelapa mampu menjadi sumber kekayaan baharu jika diusahakan dengan strategi dan inovasi produk.
Beliau yang juga ahli Persatuan Usahawan Kelapa Malaysia, kini menjual lebih 7,800 biji kelapa segar setiap minggu yang dituai sendiri dan dipasarkan secara terus kepada pelanggan.
“Pada mulanya memang mencabar. Modal besar sebab benih kelapa SGG mahal, pagar kebun pun kena kukuh sebab gangguan haiwan liar. Tapi saya sabar tiga tahun pertama, apabila pokok mula berbuah, saya tekad jual sendiri.
“Sekarang saya jual terus kepada pelanggan melalui warung dan restoran, termasuk di Restoran Lepak King yang saya bantu bangunkan dari segi logistik dan bekalan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Selain menjual kelapa segar pada harga sekitar RM2.50 sebiji, Abu Hassan menghasilkan pelbagai produk nilai tambah seperti jeli kelapa, air kelapa botol, santan segar serta benih kelapa untuk penanaman baharu.-UTUSAN











