KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga minggu melepaskan jawatan dalam Kabinet, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengadakan sidang media bersama enam ahli Parlimen PKR lain hari ini yang menyentuh isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, pada sidang media berkenaan, antara lain akan memohon secara rasmi prosiding dan siasatan dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan berhubung isu reformasi institusi dan ketua hakim negara.
“Ia bukannya dari Kabinet, jadi tiada yang boleh menjawab kecuali Perdana Menteri, saya akan menulis secara rasmi kepada pengerusi jawatankuasa dan anggota,” katanya, hari ini.
Sidang media khas berkenaan turut dihadiri ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahar, Onn Abu Bakar.
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat memegang jawatan itu selama enam tahun dengan mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu, bersara wajib pada Rabu, susulan itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara sehingga jawatan itu diisi.
Berita lanjut menyusul. – UTUSAN