KUALA LUMPUR: Pelakon, Qasrina Karim mengambil iktibar daripada kejadian dirinya dikecam selepas menampakkan bahagian leher dalam sebuah video TikTok yang dimuat naik rakan pelakon, Meerqeen, baru-baru ini.
Menurut Qasrina atau Qasrina Abdul Karim, 29, ketika itu memang tudungnya tidak dipakai sempurna memandangkan dia sedang bersolek untuk memulakan penggambaran drama Thariq Ridzuwan: His Treasure.
“Ketika video dirakam saya sedang bersiap dan bersolek. Pada saya normal jika melonggarkan sedikit tudung sebab nak memudahkan proses solekan.
“Namun, saya percaya itu bukan alasan untuk kata bahawa saya tidak sedar aurat saya terdedah sedikit.
“Saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang, terima kasih yang ambil berat dan titip nasihat,” katanya.
Qasrina berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media drama Astro Thariq Ridzuwan: His Treasure di sini, semalam.
Dalam pada itu, mengulas mengenai gandingannya bersama Meerqeen yang mendapat restu peminat, Qasrina bersyukur kerana mudah mencari keserasian antaranya dan para pelakon di set penggambaran termasuk Meerqeen.
“Saya bersyukur keserasian antara kami tidak susah untuk dibentuk dalam drama ini. Di luar set penggambaran pun kami berkawan, jadi tidak susah untuk bergandingan apabila di set.
“Meerqeen seorang yang mudah didekati, bukan hanya dengan saya tetapi dengan semua kru di set.”
Terdahulu, Qasrina mencuri tumpuan apabila para peminat meluahkan rasa kecewa melihat video pelakon tidak menjaga aurat dengan sempurna sehingga menampakkan sedikit bahagian leher dan rambut. -UTUSAN