Pulau Pinang teliti lokasi sesuai laksana projek solar terapung

Pulau Pinang teliti lokasi sesuai laksana projek solar terapung

ZAIRIL Khir Johari (lima dari kanan) bergambar bersama pemain industri solar sempena 'Malaysian Photovoltaic and Sustainable Energy Industry Association' (MPSEA) Solar Roadshow di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri kini sedang meneliti beberapa lokasi strategik yang sesuai bagi melaksanakan projek tenaga solar terapung dalam usaha memperluaskan penggunaan tenaga alternatif boleh diperbaharui di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, antara lokasi yang sedang dikaji termasuklah kawasan tadahan air seperti Empangan Teluk Bahang dan Empangan Mengkuang yang memiliki potensi yang sesuai.

“Penggunaan sistem solar terapung ini lebih realistik memandangkan kekangan kawasan daratan serta harga tanah yang tinggi di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, cadangan pembinaan projek solar terapung di kawasan empangan itu tertakluk kepada kelulusan ketat memandangkan ia merupakan kawasan sumber air minuman,” katanya selepas merasmikan ‘Malaysian Photovoltaic and Sustainable Energy Industry Association’ (MPSEA) Solar Roadshow di sini, hari ini.

Zairil berkata, selain empangan, kawasan perairan sekitar Pulau Silikon dan pelabuhan Pulau Pinang turut dikaji untuk projek solar terapung meskipun laut mempunyai cabaran seperti ombak dan pasang surut.

“Projek solar terapung ini berpotensi besar dalam menyumbang kepada sasaran negeri untuk mencapai 10 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030, selari dengan komitmen nasional iaitu untuk mencapai 70 peratus tenaga menjelang 2050.

“Pelaksanaan projek ini pula dijangka boleh dimulakan seawal dua tahun lagi bagi memenuhi keperluan tenaga industri terutama di Pulau Silikon di mana kilang-kilang di situ akan mula beroperasi dalam tempoh tersebut.

“Namun, tidak mungkin ladang solar dibina atas tanah di Pulau Silikon sendiri kerana pelan induk sudah memperuntukkan 40 peratus untuk infrastruktur, 30 peratus untuk taman teknologi hijau dan selebihnya untuk kegunaan komersial serta perumahan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, tenaga yang dijana menerusi solar itu hanya boleh disalurkan kepada grid nasional jika ia mematuhi peraturan Suruhanjaya Tenaga, manakala untuk kegunaan sendiri oleh syarikat seperti pelabuhan Pulau Pinang pula, prosesnya lebih mudah.

“Kesedaran awam terhadap tenaga solar ketika ini mungkin masih rendah, tetapi, ia semakin penting untuk masa depan.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri komited untuk menjayakan inisiatif ini demi memastikan bekalan tenaga mampan untuk pembangunan masa depan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN