GEORGE TOWN: Pulau Pinang menetapkan sasaran mencapai sifar kadar keciciran pelajar menjelang tahun 2030 sebagai langkah memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses pendidikan sempurna.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, walaupun kadar keciciran pelajar di negeri ini tidak berada pada tahap kritikal, usaha berterusan tetap diperlukan bagi mencapai sasaran tersebut.
“Buat masa ini, kadar kehadiran pelajar ke sekolah adalah 92 peratus, manakala hanya lapan peratus direkodkan tercicir. Namun, kita tidak boleh leka sebaliknya komited ke arah sifar keciciran dan percaya ia boleh dicapai menerusi program kesedaran serta kerjasama semua pihak,” katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang, di sini semalam.
Katanya, daripada lapan peratus pelajar tercicir, antara tiga hingga lima peratus terdiri daripada pelajar tahfiz yang menuntut di institusi tidak berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), manakala tiga peratus lagi langsung tidak bersekolah.
“Pelajar tahfiz yang tidak berdaftar dianggap tercicir kerana berada di luar sistem rasmi Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.
Menurut beliau, pelbagai pihak termasuk NGO, wakil rakyat, masjid dan pusat khidmat ADUN kini bekerjasama giat menjejak pelajar tercicir agar dapat kembali ke sekolah. -UTUSAN










