GEORGE TOWN : Kerajaan negeri dijangka memperuntukkan sebanyak RM11 juta sebagai kos baik pulih dua buah gudang lama di Gat Lebuh Acheh and Lebuh Victoria di sini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain dibaik pulih, gudang-gudang itu juga akan dijadikan sebagai Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan, Pendidikan dan Pembelajaran Warisan George Town (GTH-RELIC).
Beliau berkata, pengurusan GTH-RELIC pula akan diserahkan kepada Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) kerana syarikat itu mempunyai pengalaman dalam menguruskan Tapak Warisan Dunia sebelum ini.
“Dulu, gudang-gudang lama ini pernah terlibat dalam kes pertikaian (hak milik) tanah, tetapi, kerajaan negeri telah berjaya memenangi rayuan untuk kes berkenaan.
“Justeru, projek baik pulih ini nanti diharap akan dapat membantu mempromosikan pendidikan warisan kepada masyarakat, penggiat seni, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan profesional tempatan serta antarabangsa,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri majlis penghargaan komuniti sempena sambutan Hari Warisan George Town di Pusat Belia Lebuh Acheh di sini, hari ini.
Difahamkan, gudang-gudang yang pernah dijadikan sebagai lokasi penginapan sementara untuk pendatang Cina yang dalam perjalanan ke lombong bijih timah di selatan Thailand pada abad ke-19 itu kini dalam keadaan yang terbiar dan dipenuhi dengan semak-samun.
Selain pernah dijadikan lokasi penginapan, gudang-gudang itu juga pernah digunakan sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran barangan pada penghujung tahun 1900-an.
Dalam pada itu, Pengurus Besar GTWHI, Ang Ming Chee berkata, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pemulihan itu akan bermula pada tahun depan.
Ketika ini, beliau berkata, pihaknya dalam proses untuk mendapatkan permit sebelum memulakan kerja-kerja berkenaan.
“Apabila siap kelak, GTH-RELIC akan mempunyai empat elemen teras yang meliputi pusat interpretasi, makmal warisan, bank bahan warisan serta pusat kedutaan warisan budaya.
“Elemen-elemen teras ini merangkumi semua lapisan sasaran yang bermula dari peringkat kanak-kanak hinggalah kepada golongan profesional, penduduk tempatan serta pelawat,” kata beliau.-UTUSAN