PTKL2040 pacu Kuala Lumpur lebih hijau, mampan dan inklusif

PTKL2040 pacu Kuala Lumpur lebih hijau, mampan dan inklusif

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr, Zaliha Mustafa tentang Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040. UTUSAN/MUHAMMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) dijangka menjadi pemacu utama transformasi ibu negara ke arah sebuah bandar raya yang lebih hijau, mampan, inklusif dan berdaya huni untuk semua lapisan masyarakat.

Dibangunkan selaras dengan peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267), pelan ini merangkumi rangka kawalan perancangan fizikal termasuk penetapan zon guna tanah, intensiti pembangunan serta jenis aktiviti bagi setiap lot di seluruh Kuala Lumpur.

PERANCANGAN LEBIH FLEKSIBEL DAN TERANCANG

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd. Sharif berkata, PTKL2040 bukan sekadar dokumen teknikal berkaitan perancangan, sebaliknya merupakan panduan holistik yang menjadi rujukan utama kepada semua agensi untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan pembangunan bandar raya secara tersusun dan inklusif.

“Ini bukan pelan untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sahaja, tetapi untuk seluruh warga kota.

“Ia disusun secara teliti dan berpaksikan nilai-nilai Madani serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan Kuala Lumpur kekal kompetitif, selamat dan mesra manusia,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

Maimunah berkata, PTKL2040 merupakan kesinambungan kepada Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL 2020), namun disusun dengan pendekatan lebih sistematik, progresif, mudah difahami dan mesra pengguna.

PTKL2040 dibahagikan kepada dua jilid utama. Jilid pertama memberi tumpuan kepada aspek kawalan pembangunan fizikal termasuk zon guna tanah, nisbah plot, ketinggian bangunan, insentif pembangunan serta lapisan kawalan perancangan seperti warisan dan perumahan mampu milik.

Jilid kedua pula memperincikan enam matlamat strategik bandar raya iaitu inovatif dan produktif, inklusif saksama dan berdaya huni, hijau, sihat dan vibrant, pintar iklim dan rendah karbon, mobiliti cekap dan rendah karbon serta bersepadu dan mampan.

“Antara ciri baharu PTKL2040 ialah pengenalan Zon Guna Tanah Kediaman 4 (R4), Zon Guna Tanah Kampung Tradisi dan pendekatan kawalan intensiti pembangunan yang lebih fleksibel melalui pemakaian nisbah plot untuk menyokong pembangunan yang lebih inklusif tanpa mengorbankan identiti tempatan.

“Kita juga perkenalkan Lapisan Kawalan Perancangan bagi melindungi landskap bandar agar elemen visual Kuala Lumpur terus terpelihara,” ujarnya.

Mengulas aspek kelestarian, Maimunah berkata, PTKL2040 dibangunkan berdasarkan keseimbangan antara aspek fizikal, sosial, ekonomi dan alam sekitar.

MAIMUNAH Mohd. Sharif menunjukkan buku PTKL2040 yang akan menjadi panduan pembangunan masa depan ibu negara. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI

PERUMAHAN MAMPU MILIK JADI TUMPUAN

Antara fokus utama termasuk penyediaan perumahan mampu milik untuk golongan B40, peluasan kemudahan komuniti, pemeliharaan kawasan hijau dan perlindungan kampung tradisi.

Selain itu, pelan ini turut menyasarkan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar rendah karbon menerusi penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pembangunan bangunan cekap tenaga serta sistem pengurusan sisa yang mampan.

70 PERATUS GUNA PENGANGKUTAN AWAM MENJELANG 2040

“Dari segi mobiliti, PTKL2040 menyasarkan 70 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2040. Ini akan dicapai menerusi pembangunan rangkaian rel sejauh 156 kilometer (km) dengan 103 stesen dan mengambil kira cadangan dengan koridor laluan sepanjang 51 km tambahan 32 stesen MRT3.

“Rangkaian rel juga ini akan dilengkapkan dengan penambahbaikan first mile dan last mile melalui perkhidmatan feeder bus, Go Kuala Lumpur (GoKL), laluan basikal, mikromobiliti dan laluan hijau berbumbung,” katanya.

Mengambil kira realiti bandar raya moden, pendekatan metropolitan turut diguna pakai bagi menyokong kerjasama rentas sempadan dengan negeri jiran seperti Selangor dan Negeri Sembilan memandangkan ramai warga bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di luar bandar raya.

PROJEK IKONIK JADI PEMANGKIN PEMBANGUNAN

Menurut Maimunah, pelaksanaan PTKL2040 turut disokong pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan kawasan seperti KL Metropolis, The Exchange TRX dan KLCC sebagai hab kewangan serta pelancongan bandar menerusi projek Warisan KL yang mengetengahkan bangunan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

“Konsep ‘Green Connectors’ juga diperkenalkan melibatkan laluan sepanjang 254.4 km bagi menghubungkan taman-taman dan laluan pejalan kaki.

“Kita turut rancang pembangunan pelbagai kategori perumahan termasuk mikro, transit, warga emas dan pekerja, selain membangunkan hub komuniti, program Sungai Nadi Kehidupan serta pewartaan kawasan warisan dan tadahan hujan,” jelasnya.

CABARAN PELAKSANAAN PERLU DISELARASKAN

Mengulas cabaran pelaksanaan, Maimunah berkata, koordinasi antara agensi, pembiayaan projek, penerimaan masyarakat serta teknologi dan kapasiti dalaman merupakan antara isu utama yang perlu diatasi secara menyeluruh.

“PTKL2040 tidak boleh dilaksanakan secara bertindih. Kita perlu pastikan tiada pertindihan dan semua agensi menyelaras bajet serta projek berdasarkan pelan ini. Pendekatan 4P (Public, Private, People, Partnership) amat penting untuk memastikan pelaksanaan berjalan lancar,” tegasnya.

Beliau turut mengakui kefahaman dan pemantapan kapasiti kakitangan DBKL juga menjadi cabaran dalaman yang perlu diberi perhatian agar pelan itu tidak sekadar menjadi dokumen bercetak semata-mata.

“Setiap cadangan dalam PTKL2040 perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Kita tidak mahu ia hanya cantik di atas kertas, tetapi tiada kesan di lapangan,” katanya.

KUALA LUMPUR: BANDAR UNTUK SEMUA

Beliau turut menyifatkan pengiktirafan yang diberikan oleh Perdana Menteri terhadap PTKL2040 sebagai ‘dokumen lengkap’ menjadi motivasi besar kepada DBKL untuk terus komited memastikan pelan itu berjaya dilaksanakan.

“Saya harap pelan ini terus dijadikan rujukan utama oleh DBKL dan semua agensi walaupun selepas tempoh perkhidmatan saya berakhir. Saya mahu warga kota yang mencintai Kuala Lumpur iaitu Livable and Loveable Kuala Lumpur.

“Visi kami ialah menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘Bandar untuk Semua’ iaitu sebuah bandar raya yang mampan, selamat, inklusif dan disayangi oleh seluruh warganya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN