ARAU: UMNO tidak akan bergerak solo dan perlu bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, secara tradisinya, parti itu tidak pernah bertanding solo sejak dari awal penubuhan dengan peringkat permulaan pernah membentuk gabungan Parti Perikatan bersama-sama dengan rakan komponen MCA dan MIC.
Katanya, apabila dinamika politik telah berubah pada tahun 1974, UMNO turut mengambil pendirian bagi menambah lagi rakan-rakan komponen dengan menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang dianggotai 14 parti-parti politik.
“Dan pada hari ini, saya rasa mustahil dan tidak mungkin UMNO akan pergi bergerak solo kerana ia hanya menunjukkan keangkuhan dan kesombongan kita sebagaimana pernah dilakukan pemimpin terdahulu.
“Walaupun waktu dulu UMNO kuat namun kita masih harapkan rakan-rakan politik lain untuk bersama,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau di Dewan, di sini hari ini. Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman.
Asyraf berkata, mengikut rekod sebanyak 89 buah negara di dunia ini juga telah mewujudkan gabungan-gabungan tertentu dalam konteks dinamika politik pada hari ini.
“Jadi dengan konteks inilah saya rasa yang paling penting adalah UMNO mesti bertanding atas tiket BN dalam pilihan raya akan datang.
“Dan bentuk kerjasama itu juga akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya. – UTUSAN