PRU16: UMNO mahu rampas semula Tanjong Karang

PRU16: UMNO mahu rampas semula Tanjong Karang

UMNO Tanjong Karang
ASYRAF Wajdi Dusuki bersama kepimpinan parti majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Parlimen Tanjong Karang antara kerusi utama yang menjadi fokus UMNO untuk dirampas semula pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerusi itu dianggap amat penting untuk dimenangi parti berkenaan.

“Tanjong Karang kita sememangnya tidak pernah kalah namun hanya tewas pada pilihan raya yang lepas (PRU15). Jadi, fokus kita mahu menjadikan ia antara kerusi utama kembali dirampas kelak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang, hari ini.

Pada PRU15, kubu kuat UMNO itu tumbang selepas dimenangi Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan kemenangan majoriti 2,180 undi.

Beliau yang kini wakil rakyat Bebas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Habibah Mohd. Yusof yang memperoleh 15,874 undi dan Siti Rahayu dari Pakatan Harapan (PH) (12,314).

Turut tewas, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Azlan Sani Zawawi atau Lando yang meraih 3,557 undi manakala calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol dengan 1,406 undi.

Menurut Asyraf Wajdi, kembali kepada asas UMNO iaitu bersatu, bersetia dan beriman antara formula untuk memenangi kerusi itu kelak.

“Bersatu itu bermakna jangan ada kelompok dalam parti. Kita harus belajar pada sejarah bahawa UMNO lemah bukan kerana musuh itu kuat tetapi sesama sendiri yang menyebabkan kita kalah.

“Selain itu, kita perlu sentiasa setia dengan kepimpinan parti dan terus membawa suara rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, parti itu perlu sentiasa kuat dan berada dalam struktur kerajaan bagi mempertahankan agenda Islam dan Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN