PETALING JAYA: Proses pelantikan jawatan hakim tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan undang-undang tertinggi negara itu.
AGC berkata, Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ (saluran atau perantara) yang menerima syor daripada mana-mana pihak sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman.
“Jabatan ini dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu dan pelantikan tersebut masih perlu melalui beberapa formaliti.
“Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur,” kata AGC dalam kenyataan.
AGC merujuk dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu seperti dibangkitkan oleh sesetengah pihak.
Semalam, sembilan ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan yang berlegar berhubung pelantikan hakim.
Dalam pada itu, AGC berkata, tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim lain merupakan satu tuduhan serius.
Namun, katanya, segala pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah rahsia dan dilindungi oleh undang-undang.
“Maka, tuduhan sebegini tidak boleh disamakan dengan salah laku yang telah dibuktikan. Ia kekal sebagai dakwaan spekulatif dan belum dibuktikan serta tidak seharusnya dianggap menjejaskan kebebasan kehakiman,” katanya.
Mengenai perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007, katanya, ia adalah tidak wajar kerana kes tersebut melibatkan bukti jelas tentang campur tangan dalam pelantikan hakim sehingga memerlukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan.
Katanya, keadaan semasa sekarang berbeza kerana tuduhan semasa masih berbentuk dakwaan dan tidak disertai bukti kukuh dengan menegaskan keadaan semasa perlu dipantau dengan teliti dan semua pihak diingatkan supaya tidak bertindak terburu-buru.
Katanya, percanggahan daripada segi tempoh atau prosedur pelantikan tidak sepatutnya ditafsir sebagai satu krisis Perlembagaan.
“Proses pelantikan mestilah dilaksanakan melalui kaedah yang sah dan teratur, dengan menghormati institusi serta peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Semua pihak perlu memainkan peranan bertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa. Tanggungjawab ini sepatutnya dilaksanakan dengan cara memperkukuh kematangan institusi negara bukan dengan menyebarkan spekulasi yang tidak berasas,” katanya.
Dalam pada itu, AGC berkata, dakwaan sembilan ahli Parlimen PKR kononnya mesyuarat JAC diadakan tanpa notis mencukupi adalah tidak tepat memandangkan berdasarkan Seksyen 13(2) Akta 695, JAC mempunyai budi bicara untuk menguruskan prosedur sendiri dalam keadaan mendesak.
“Menjadi kebiasaan katanya, pihak berkuasa boleh mengadakan mesyuarat dengan notis singkat jika mendapat persetujuan semua anggota.
“Maka, isu prosedur tidak sewajarnya menjejaskan kesahan mesyuarat melainkan wujud elemen mala fide (niat jahat) atau prejudis yang nyata,” katanya.-UTUSAN










