PUTRAJAYA: Program berunsur motivasi rumahtangga, EHati dilihat mempunyai unsur-unsur yang menggugat pegangan akidah umat Islam serta bertentangan dengan maqasid usul akhlak mulia dan diiktiraf setiap manusia tanpa mengira agama.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, program ini menyarankan bahawa wanita harus memusatkan kehidupan mereka kepada “diri sendiri” sepenuhnya, tanpa bergantung kepada nilai agama, pasangan, atau keluarga.
Jelas beliau, dalam Islam, walaupun konsep self-care dan self-love adalah diiktiraf, namun mestilah selaras dengan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta tanggungjawab sosial.
“Fahaman emosi tanpa bimbingan agama akan menjadi punca kepada kesesatan dan kehancuran hidup.
“Justeru, peri pentingnya menyatukan antara ilmu psikologi emosi dengan bimbingan wahyu dan syariat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Fauwaz, dalam program tersebut, peserta diajarkan untuk menyayangi diri sendiri tanpa merasakan adanya keperluan untuk mendapatkan kasih sayang daripada orang lain.
Akibat daripada itu, katanya, program ni seakan-akan menggalakkan wanita untuk tidak berkahwin dan tidak bersuami kerana mereka mampu mencapai kebahagiaan dan kepuasan nafsu dengan sendiri.
“Ajaran ini jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW kerana wujudnya penafian terhadap fitrah dan keinginan semula jadi manusia untuk berkahwin sekali gus merencatkan institusi kekeluargaan.
“Menggunakan unsur-unsur seksual dan mempromosikan masturbasi sebagai bentuk rawatan emosi adalah satu penyelewengan yang nyata,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Islam menegaskan perlunya penjagaan maruah dan kehormatan diri.
Jelasnya, galakan terhadap aktiviti seksual secara bebas boleh membawa kepada penzinaan, ketagihan seksual dan menghilangkan rasa malu.
“Bahkan memiliki dan menjual alatan atau bahan-bahan yang memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan moral atau kepentingan awam adalah dilarang dan boleh dianggap satu jenayah di sisi undang-undang negara,” katanya.
Mengulas lanjut, salah satu ajaran yang dibawanya ialah disebut sebagai ‘Yoni Massage’ diambil daripada falsafah Tantra yang bersumberkan daripada tradisi agama Hindu dan Buddha.
Katanya, Hal ini juga termasuk salah satu fahaman sinkritisme yang diserapkan ke dalam gerakan New Age.
“Sudah tentu, ia merupakan suatu amalan yang bercanggah dengan agama Islam kerana melibatkan falsafah yang sesat dan ritual-ritual tertentu, di samping ia bertentangan dengan nilai dan akhlak mulia.
“Islam tidak menerima pencampuran dengan kepercayaan-kepercayaan asing dengan ajarannya yang suci murni,” katanya.
Justeru katanya, pihak berkuasa agama dan tempatan perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap program yang mengandungi unsur penyelewengan agama dan moral sebegini.
Selain itu, program seperti ini perlu diganti dengan bimbingan emosi dan motivasi daripada pakar yang bertauliah, berlandaskan ajaran Islam yang sahih serta berasaskan al-Quran dan Sunnah.
“Teguran kepada ahli motivasi agar sentiasa cakna dengan sebarang intipati program jati diri dan penyediaan modul yang boleh menyesatkan akidah serta meruntuhkan moral dan akhlak. – UTUSAN