NIBONG TEBAL: Pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) terbukti mampu mengubah masa depan pelajar berisiko tinggi apabila 93 peratus daripada 460 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari 11 buah sekolah di Pulau Pinang berjaya memperoleh sijil berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kesemua calon terbabit merupakan pelajar yang dikenal pasti berisiko tercicir, namun menunjukkan peningkatan ketara hasil sokongan berterusan di bawah program intervensi itu.
“Melalui Program Anak Kita, kita telah membantu mereka mengubah trajektori pendidikan daripada hampir tercicir kepada berjaya mendapat sijil SPM, dengan kelulusan dalam mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Lebih membanggakan, seramai 99 peratus daripada mereka hadir menduduki peperiksaan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke SMK Taman Widuri, semalam.
Program Anak Kita merupakan inisiatif bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) yang dilancarkan pada 27 September 2024. Ia bertujuan menangani keciciran pembelajaran sebagai sebahagian daripada agenda pendidikan manusiawi di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program itu dilaksanakan dengan kerjasama tiga universiti awam dan tujuh pertubuhan masyarakat sivil (CSO), diterajui Yayasan Hasanah bersama Unit Pantau MADANI, dan dipantau sehingga Disember 2025.
Antara komponen utama program melibatkan intervensi dalam penguasaan asas membaca, menulis dan mengira (3M), membantu calon SPM lulus subjek teras serta memberi bantuan menyeluruh kepada murid tercicir untuk kembali ke sistem pendidikan formal.
Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI, Mohd. Khalid Mohamed Latiff berkata, bagi tahun ini, pelaksanaan Program Anak Kita terus menunjukkan keberkesanan dengan peningkatan prestasi akademik yang ketara.
“Di Pulau Pinang sahaja, seramai 1,280 murid SPM 2025 dari 64 buah sekolah telah terlibat dengan program ini. Lebih 1,000 daripada mereka berjaya keluar daripada Gred G dalam peperiksaan pertengahan tahun.
“Sebanyak 71 peratus murid menunjukkan peningkatan gred dalam Bahasa Melayu, 44 peratus dalam Sejarah dan 13 peratus dalam Matematik,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu dicapai menerusi pendekatan menyeluruh dan kerjasama pelbagai pihak dalam mendekati golongan pelajar berisiko.
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki pula berkata, penyertaan aktif murid dalam kelas tambahan secara dalam talian menunjukkan keberkesanan intervensi digital yang disediakan.
“Sehingga Jun lalu, lebih 60 jam kelas tambahan dalam talian telah dilaksanakan bersama Coaches dan Guru Bitara dari Universiti Sains Malaysia (USM), dengan kadar kehadiran hampir 90 peratus.
“Penyediaan tablet dan data internet membolehkan pelajar mengikuti kelas secara konsisten, dan ini membuktikan bahawa intervensi yang disasarkan serta sokongan menyeluruh mampu mengubah haluan pendidikan murid tercicir,” katanya.
Tambah beliau, program ini turut memberi sokongan emosi dan kaunseling kepada murid yang memerlukan bagi memastikan mereka kekal fokus dan bermotivasi.
Pengetua SMK Taman Widuri, Norazimah berkata, pihak sekolah menyaksikan sendiri perubahan sikap pelajar selepas menyertai program berkenaan.
“Terdapat calon yang gagal dalam peperiksaan percubaan tetapi memperoleh Gred A- dalam SPM sebenar. Seramai 250 murid yang gagal Matematik ketika ‘trial’ juga berjaya mendapat gred B,” katanya.
Fadhlina dalam pada itu turut menyeru lebih banyak pihak termasuk sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta dalam menjayakan program tersebut.
“Saya amat yakin pendekatan ‘Whole-of-Nation’ seperti yang dilaksanakan dalam Program Anak Kita ini mampu membawa perubahan besar dalam pendidikan negara.
“Program ini bukan sahaja membina prestasi akademik, tetapi juga membina keyakinan dan semangat murid untuk terus berusaha sehingga berjaya,” katanya.