KLANG: Seorang ibu menemui ajal dalam keadaan yang menyayat hati selepas motosikal dinaiki bersama suami dan anak perempuannya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler dekat Jalan Pelabuhan Barat, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, motosikal jenis SM Sport 110R itu dibonceng bersama anaknya berusia 10 tahun dari arah Pulau Indah menghala ke Klang kira-kira pukul 1.20 tengah hari.
“Suami mangsa ketika itu cuba menyelit antara beberapa buah lori treler sebelum terjatuh di tengah jalan. Akibat kemalangan tersebut, lori yang berada di hadapannya tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sementara suami dan anaknya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat, sementara suami dan anaknya juga turut dibawa ke hospital sama bagi menerima rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai terutama penunggang motosikal dinasihatkan supaya berhati-hati semasa memandu dan sentiasa fokus kepada pemanduan,” ujarnya.
Terdahulu, rakaman video papan pemuka tular menunjukkan kejadian kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan lori treler di lokasi yang mana keadaan trafik ketika itu sedang bergerak perlahan. – UTUSAN










