Produk tradisional tak berdaftar, bahan beracun bernilai RM5.2 juta dirampas

Produk tradisional tak berdaftar, bahan beracun bernilai RM5.2 juta dirampas

BEBERAPA orang pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), JKNPP sedang memeriksa sebuah premis yang dipercayai menjual produk tradisional tidak berdaftar dan mengandungi racun berjadual di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 71,000 botol produk tradisional tidak berdaftar serta lebih 500 bungkusan bahan mentah yang disyaki mengandungi racun berjadual dirampas dalam satu operasi khas di sekitar Kepala Batas, 15 Julai lalu.

Turut dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) di Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) itu ialah dua unit mesin pemprosesan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM5.2 juta.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata, terdahulu, enam buah premis yang menjual produk serta bahan tersebut telah diserbu dalam operasi berkenaan dengan kerjasama polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau berkata, serbuan itu dibuat susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam berhubung penjualan produk tidak berdaftar yang dipercayai telah dicampur dengan bahan yang berbahaya.

“Operasi yang dijalankan ini membuktikan bahawa pihak KKM sentiasa mengambil serius terhadap aduan awam bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan keluaran yang dicampuri racun,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadzilah berkata, pemilikan racun berjadual untuk tujuan jualan tanpa lesen yang sah adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952.

“Penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi pula merupakan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berikutnya, denda yang dikenakan pula adalah tidak lebih daripada RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya yang memberitahu, denda yang dikenakan terhadap syarikat pula boleh mencecah sehingga RM100,000.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang awam untuk menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik menerusi portal rasmi NPRA di www.npra.gov.my, selain menyalurkan maklumat atau aduan melalui SisPAA (moh.spab.gov.my) atau menghubungi talian 03-7841 3200.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN