Pop Shuvit jelajah Filipina, Hong Kong dengan My Chemical Romance - Utusan Malaysia

Pop Shuvit jelajah Filipina, Hong Kong dengan My Chemical Romance

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA masing-masing ‘sakit jantung’ kerana terkejut band rock popular My Chemical Romance (MCR) mengumumkan bakal kembali mengadakan konsert di Malaysia tahun hadapan. Ramai juga yang kembali menceritakan kehebatan band asal Malaysia, Pop Shuvit yang pernah diundang membuat persembahan pembukaan MCR semasa konsert mereka The Black Parade Tour di Kuala Lumpur pada 2007.

Kembali menceritakan detik itu, pemain drum Pop Shuvit, Rudy atau Azlan Abdul Malik mengakui ia merupakan detik bersejarah dan permulaan persahabatan yang erat antara Pop Shuvit dengan band asal Amerika Syarikat itu.

“Ceritanya bermula selepas persembahan, kami lepak bersama MCR dan berbual tentang ‘gear’ muzik semasa rakaman, pengalaman dan perkara membabitkan teknikal. Pendek kata, ia perbualan sesama ahli muzik kerana gitaris kami, JD adalah orang yang mahir dengan teknikal.

“Apa yang saya boleh kata, semua ahli MCR sangat sempoi walaupun ketika itu popularitinya sedang memuncak setanding Linkin Park. Mereka pun bagi kami guna barang mereka untuk persembahan.

“Mungkin juga MCR melihat Pop Shuvit ada persamaan dari segi perjalanan muzik kerana mereka juga datang daripada kumpulan Independen. Selain itu, walaupun muzik kami berbeza, namun kedua-duanya masih dalam genre rock. Mereka selesa dan tak rasa perlu bersaing dengan kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui, kerana kagum dengan tenaga persembahan Pop Shuvit di KL ketika itu, MCR telah mempelawa Pop Shuvit yang dianggotai Moots (vokalis), JD (gitaris), AJ (bass), DJ Uno (Deejay), Rudy (pemain dram) untuk membuat persembahan sepanjang konsert jelajah mereka di Asia.

“MCR ajak kami untuk ikut mereka jelajah Asia, dalam lima negara juga. Awal-awal kami ingat mereka bergurau, tapi rupanya ajakan itu serius. Mereka pelawa kami terus depan muka, bukan melalui pengurus.

“Selepas berbincang, atas faktor kewangan kami akhirnya mampu untuk ikut mereka ke dua negara sahaja iaitu Manila, Filipina dan Hong Kong. Ketika itu, kami bayar tiket penerbangan tapi penginapan mereka kongsi. Memang macam kawan-kawan.

“Tak boleh lupa macam mana sambutan penonton konsert ketika itu. Kami tiada apa-apa jangkaan, hanya fikir nak buat persembahan sahaja berbekalkan pengalaman kami pernah buat siri jelajah. Kami yakin, MCR tak mungkin pilih band sembarangan buat persembahan.

“Kami juga berpeluang ditemu ramah media antarabangsa, semuanya macam mimpi. Pada waktu itu, TikTok belum ada, jadi kita tak tahu macam mana nak ‘ukur’ peminat kami bertambah atau tidak. Hanya bergantung kepada laporan media,” jelas Rudy.

Keakraban Pop Shuvit dan MCR masih erat sehingga kini lebih-lebih lagi mereka pernah menghasilkan lagu dengan kolaborasi bersama gitaris MCR, Ray Toro menerusi single ‘Space Between Us’ pada 2023.

Mahu bawa MCR makan-makan

Cerita Rudy lagi, Pop Shuvit berasa teruja dengan berita kedatangan MCR ke Malaysia. Tambahnya, beberapa tahun ini MCR meluahkan hasrat untuk kembali ke Malaysia namun sedang berusaha dengan beberapa pihak untuk merealisasikan impian mereka itu.

“Sebelum ini memang kami pernah mesej bertanya adakah mereka akan datang ke Malaysia. Mereka balas sedang berusaha untuk buat siri jelajah. Semalam (Isnin) mereka sudah umumkan secara rasmi.

“Hasrat kami, bila MCR datang Malaysia, kami nak bawa mereka pergi makan-makan. Waktu 2007 dulu, kita baru kenal. Tak sempat nak bawa keliling, pergi mana-mana. Kali ini, kami nak ajak satu band rasa makanan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Band rock popular, My Chemical Romance (MCR) dijadualkan mengadakan konsert di Kuala Lumpur (KL) pada 30 April 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perkara itu disahkan secara rasmi menerusi poster yang dimuat naik di Instagram MCR menunjukkan KL menjadi salah satu daripada lima destinasi konsert jelajah mereka di Asia Tenggara tahun hadapan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN