KUALA LUMPUR : Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki kurang upaya yang dilaporkan hilang di kawasan Dang Wangi sejak 17 Julai lalu.
Lelaki berbangsa India dikenali sebagai A. Nyana Segaran, 50, kali terakhir dilihat berada di Nasi Kandar KL Express Lebuh Ampang, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan telah dibuat oleh isteri lelaki berkenaan pada 25 Julai lalu kira-kira pukul 11.15 pagi di Balai Polis Dang Wangi mengenai kehilangannya.
Katanya, lelaki berkenaan yang juga orang kurang upaya (OKU) dikatakan keluar dari rumah dengan pengetahuan ahli keluarganya pada hari kejadian.
“Lelaki berkenaan bagaimanapun tidak pulang selepas hari itu dan menyebabkan isterinya terus membuat laporan polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, lelaki berkenaan dikatakan mempunyai ketinggian 175 sentimeter dan pakaian terakhir dipakai mangsa tidak dapat dipastikan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-26002264 atau Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya.-UTUSAN










