GEORGE TOWN : Polis telah menerima arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk melengkapkan siasatan berhubung kes seorang doktor yang ditahan sebanyak empat kali kerana disyaki mencabul pesakit wanitanya.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, tiga daripada kes tersebut dilaporkan di daerah Timur Laut manakala satu lagi yang paling terkini berlaku di daerah Barat Daya.
“Polis telah melengkapkan siasatan bagi kes yang dilaporkan di daerah Timur Laut dan telah menghantar kertas siasatan ke pejabat TPR.
“Kami baru-baru ini menerima arahan daripada pejabat TPR untuk melengkapkan lagi siasatan bagi kes-kes tersebut, dan kami sedang melakukannya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini.
Mohd Alwi berkata, bagi kes di daerah Barat Daya, siasatan masih dijalankan.
Katanya, kejadian terkini berlaku di sebuah klinik swasta di daerah barat daya ketika doktor tersebut sedang menjalankan tugasan sebagai doktor lokum.
“Doktor berkenaan difahamkan sebelum ini bertugas di sebuah hospital kerajaan di daerah Timur Laut sebelum dipindahkan ke klinik kerajaan di daerah Barat Daya,” katanya.
Pada Selasa lalu, media melaporkan seorang doktor yang sebelum ini pernah ditahan sebanyak tiga kali kerana disyaki mencabul pesakit wanita, sekali lagi ditahan atas kes yang sama di sebuah klinik swasta di Bayan Baru.
Doktor berusia 43 tahun itu ditahan dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada pukul 8 malam Isnin lalu selepas diminta hadir bagi membantu siasatan.
Polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa pada pukul 11.46 pagi, 29 Jun lalu, dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bayan Baru kerana mengalami sakit perut dan doktor tersebut tersebut telah berkelakuan tidak senonoh terhadapnya. – UTUSAN











