IPOH: Polis Perak memantau ketat setiap tapak kuari di negeri ini bagi memastikan operasinya dijalankan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, SOP ketat itu wajib dipatuhi setiap pengusaha kerana operasi kuari melibatkan penggunaan bahan letupan berjadual.
Katanya, pemantauan juga dilakukan setiap hari di tapak operasi kuari membabitkan stok sedia ada bahan letupan, rekod penggunaan dan operasi letupan.
“Setakat ini, semua syarikat kuari berlesen menjalankan kerja-kerja letupan mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan stok bahan letupan juga mengikut keperluan.
“Kita tidak mengesan sebarang aktiviti yang dijalankan luar daripada peraturan ditetapkan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini hari ini.
Noor Hisam berkata, kawalan ketat terhadap operasi kuari itu menolak dakwaan bahawa gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh pada 18 Jun lalu berpunca daripada aktiviti kuari.
Katanya, hasil semakan dengan pengusaha kuari mendapati semua aktiviti letupan pada hari kejadian dijalankan dalam tempoh waktu yang ditetapkan iaitu selepas pukul 12 tengah hari.
“Memang pada hari kejadian, pihak kuari ada melakukan letupan tapi semuanya selepas pukul 12 tengah hari. Ada letupan yang dibuat pada pukul 1 petang dan yang paling lewat pula pada pukul 4 petang.
“Kejadian gegaran yang berlaku baru-baru ini pada pukul 10.30 pagi, jadi agak mustahil untuk mengaitkan gegaran yang berlaku pada sebelah pagi dengan letupan yang dijalankan pada sebelah petang,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut kes itu masih dijalankan bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca gegaran yang menggemparkan penduduk.
“Kita masih menjalankan kolaborasi dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi mengumpul bukti dan penemuan lain sebelum mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu ini.
“Setakat ini, tiada lagi gegaran susulan yang dilaporkan. Saya minta orang ramai terutama penduduk di Ipoh agar bertenang. Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berkaitan fenomena ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan penduduk selepas didakwa mendengar bunyi letupan kuat dan gegaran di kawasan Klebang dan Chemor serta lokasi berhampiran sekitar pukul 10.30 pagi, 18 Jun lalu.
Gegaran diikuti bunyi dentuman kuat turut berlaku pada 21 Oktober 2024 melibatkan beberapa kawasan termasuk Tasek, Stadium Perak, Manjoi, Meru, Falim, Bercham dan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.
Pada Oktober 2018, insiden sama pernah berlaku di bandar raya ini dan daerah berdekatan termasuk Taiping namun punca kejadian itu masih kekal misteri sehingga kini. – UTUSAN