GEORGE TOWN : Polis telah mengenal pasti identiti seorang lelaki yang dipercayai sengaja merosakkan kenderaan milik pengguna jalan raya lain dalam satu kejadian di sini, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, suspek yang juga seorang warga tempatan itu kini sedang diburu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Terdahulu, Swee Sake berkata, pihaknya terkesan dengan satu rakaman video mengenai kejadian berkenaan yang tular di media sosial, hari ini.
Menurut beliau, laporan polis mengenai kejadian itu bagaimanapun telah diterima sejak pukul 7.55 malam semalam daripada seorang pengadu iaitu lelaki warga tempatan yang berumur 25 tahun.
“Siasatan awal polis mendapati, kejadian berlaku ketika pengadu (mangsa) sedang memandu kereta di Jalan Lebuh Pantai di sini kira-kira pukul 4 petang.
“Secara tiba-tiba, kereta pengadu telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki oleh seorang lelaki warga tempatan (suspek).
“Selepas perlanggaran itu, suspek telah keluar dari keretanya dan mengambil sebatang besi lalu memukul pada bahagian pintu belakang kereta pengadu,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Swee Sake berkata, akibat daripada perbuatan suspek, pengadu mendakwa telah mengalami kerugian sebanyak RM3,000 susulan kerosakan pada kereta miliknya itu.
“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” ujar beliau.-UTUSAN