KUALA LUMPUR: Pihak polis diminta menjalankan siasatan terperinci dan telus berhubung kematian tragis seorang pelajar, Zara Qairina Mahathir, 13, di sebuah sekolah menengah kebangsaan agama di Papar, Sabah pada 17 Julai lalu.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kematian pelajar tersebut mengundang keresahan awam terutama selepas pendedahan oleh seorang pengguna Facebook dipercayai ahli keluarga mangsa, yang menceritakan secara panjang lebar detik-detik menyayat hati mengenai kejadian itu.
“Bagi pihak Perikatan Nasional kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah Adik Zara Qairina. Ini insiden tragis menyayat hati dan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kenapa? Kerana terlalu banyak yang didedahkan di dalam tulisan Facebook ini dan sehingga hari ini belum ada kenyataan yang serius daripada pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan juga daripada pihak Kementerian Dalam Negeri khususnya PDRM (Polis Diraja Malaysia) terhadap isu yang serius ini.
“Sepatutnya isu yang melibatkan keselamatan, kesejahteraan dan nyawa seorang pelajar yang masih muda 13 tahun sepatutnya dilindungi sepenuhnya di bawah tanggungjawab pihak sekolah serta KPM tidak boleh menganggap kes ini seperti kes-kes biasa.
“Kerana ia melibatkan kematian dalam kawasan sekolah dan pelajar itu adalah pelajar asrama. Ada warden yang menjaga, ada guru yang mengurus,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai dakwaan kemungkinan wujud campur tangan pihak tertentu dalam siasatan kes berkenaan, termasuk laporan kononnya terdapat pelajar yang dipindahkan ke sekolah lain walaupun siasatan masih berjalan.
“Pihak yang bersangkutan dengan arwah adik ini bimbang wujud campur tangan pihak tertentu kerana dakwaan-dakwaan yang dibuat berdasarkan apa yang kami baca ini terdapat campur tangan pihak tertentu kerana kononnya pihak yang terlibat ini ada kaitan dengan orang-orang kenamaan tertentu.
“Saya tidak ada maklumat tentang itu tapi itu yang ditulis dan yang lebih menimbulkan kesangsian ialah ada untuk memindahkan sekumpulan pelajar yang bersekolah di situ ke sekolah lain. Dalam keadaan kes ini masih lagi belum di disiasat sepenuhnya.
“Jadi sepatutnya kalaulah pelajar yang dipindahkan itu ada kaitan dengan kes ini, dia tidak boleh dipindahkan sekolah sewenang-wenangnya macam satu usaha untuk menutup kes ini. Itu tak patut berlaku dan kalau ini berlaku, ia akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.
“Khususnya terhadap pihak sekolah dan terhadap pihak kementerian sendiri,” katanya turut mengemukakan enam gesaan utama kepada pihak berwajib antaranya siasatan polis mesti dijalankan tanpa sebarang tekanan atau pengaruh daripada mana-mana pihak,” kata Afnan Hamimi.
Sehubungan itu beliau menggesa Kementerian Pendidikan menyekat sebarang permohonan pertukaran sekolah pelajar yang disyaki terlibat sehingga siasatan selesai, malah, pelajar yang dikenal pasti sebagai suspek perlu digantung persekolahan sementara waktu.
Beliau turut menggesa audit keselamatan sekolah asrama penuh dilakukan secara menyeluruh termasuk pemasangan CCTV di lokasi berisiko tinggi di sekolah asrama bagi mencegah kejadian buli atau jenayah berulang.
Katanya, langkah drastik perlu diambil untuk menghapuskan budaya buli, penganiayaan dan ketakutan terhadap senior di kalangan pelajar asrama. – UTUSAN