PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membuat satu pengumuman khas kepada rakyat Malaysia pada jam 10.30 pagi esok, namun lokasi dan format pengumuman sama ada secara dalam talian atau sidang media tidak dimaklumkan.
Perkara itu disahkan Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil di laman sosial.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan bahawa beliau sedang meneliti langkah-langkah susulan hasil pemukiman Kerajaan Perpaduan di Port Dickson, dan bercadang membuat pengumuman berkaitan ‘penghargaan luar biasa’ kepada rakyat.
Anwar dilaporkan berkata sedang mempertimbangkan perubahan dan pengumuman yang perlu dibuat bagi meredakan tuntutan rakyat. Ia memerlukan sedikit masa untuk diteliti dengan sebaiknya.
Minggu lalu, Anwar turut memuat naik hantaran di media sosial menyatakan bahawa satu pengumuman besar akan dibuat dalam masa terdekat, bagaimanapun, setakat ini tiada maklumat terperinci mengenai bentuk penghargaan dimaksudkan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat. – UTUSAN