PM dijangka jelas isu pelantikan baharu badan kehakiman negara minggu depan

PM dijangka jelas isu pelantikan baharu badan kehakiman negara minggu depan

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan sesi taklimat bersama Ahli-Ahli Parlimen pada minggu hadapan bagi menjelaskan isu pelantikan terbaharu dalam badan kehakiman negara.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, selain sesi taklimat kepada wakil rakyat, Mesyuarat Majlis Raja-Raja juga akan berlangsung pada minggu yang sama. 

“Sesi taklimat ini penting bagi memastikan semua pihak termasuk Ahli Parlimen dan Raja-Raja mendapat maklumat yang tepat dan telus mengenai pelantikan ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyentuh isu berkaitan, Anthony Loke berkata, itu pandangan Rafizi. 

“Saya tidak mahu mengulas sama ada saya bersetuju atau tidak. Apa yang penting, Perdana Menteri akan mengadakan sesi taklimat bersama Ahli Parlimen, dan kita akan diberi ruang untuk mendapatkan penjelasan secara langsung,” katanya. 

Menurut beliau yang juga Menteri Pengangkutan, perkara ini juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dan adalah penting untuk semua pihak memahami bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara atau mana-mana jawatan dalam badan kehakiman tertakluk kepada proses yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila terdapat kekosongan jawatan seperti Ketua Hakim Negara, ia memerlukan proses tertentu yang melibatkan nasihat Perdana Menteri, perkenan Yang di-Pertuan Agong serta pertimbangan Majlis Raja-Raja. Oleh itu, kita tidak boleh mendahului proses ini,” katanya lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN