PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mengagalkan cubaan sindiket menyeludup kaki ayam sejuk beku ke negara jiran apabila merampas 2,646 karton kotak mengandungi barangan itu, pada Jumaat lalu.
Rampasan dibuat menerusi pemeriksaan pegawai dan anggota cawangan risik Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu ke atas sebuah kontena di tepi jalan berhampiran Kompleks Bebas Cukai Jalan Baru Sadao, Padang Besar, di sini.
Pihak berkuasa juga telah menahan seorang lelaki yang merupakan pemandu lori warga tempatan berusia 42 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, ketika kejadian, kerja-kerja menurunkan barangan dari kontena tersebut ke dua buah trak pikap yang didapati bernombor pendaftaran Thailand sedang dilakukan.
“Pemeriksaan dilakukan hasil maklumat diperolehi dan ketika kejadian, pihak berkenaan sedang menurunkan barangan ke dalam pikap Thailand itu. Siasatan lanjut telah membawa kepada penemuan 2,646 karton kotak yang di dalamnya mengandungi kaki ayam sejuk beku.
“Menerusi semakan, jumlah rampasan keseluruhan adalah bernilai kira-kira RM1.42 juta meliputi 2,646 karton kaki ayam, sebuah lori kontena dan dua buah pikap jenama Hilux,” katanya di sini hari ini.
Tambah Shahrum, tangkapan dan rampasan telah dirujuk kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya pula, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh tujuh tahun atau kedua-duanya.
“Siasatan lanjut oleh cawangan risik Batalion 18 Pasukan Gerakan Am masih dijalankan bagi mengesan saki baki sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan di kawasan Padang Besar,” katanya.-UTUSAN










