SEPANG: Seorang petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran komen jelik menerusi laman media sosial Facebook.
Tertuduh, Mohammad Faisal Mohd Yusof, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohammad Faisal didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Tertuduh yang menggunakan akaun Facebook ‘Mohd Faisal Yusop’ melakukan hantaran itu pada 12.40 pagi, 9 Februari lalu dan telah dilihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada kira-kira 1.40 petang hari sama di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan, memandangkan tertuduh pernah tidak menghadiri sebutan kes pada 30 April lepas sehingga waran tangkap dikeluarkan.
Bagaimanapun, bapa tunggal itu yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap serta menanggung tiga anak serta ibu bapanya.
Ahmad Fuad kemudian memerintahkan Mohammad Faisal dikenakan jaminan RM7,000 dan menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh tersebut bagaimanapun gagal membayar wang jaminan itu. – UTUSAN